KUALA PILAH – Seorang wanita warga emas berusia 68 tahun maut apabila kereta dipandunya terbabas ke kanan jalan di Jalan Kuala Pilah – Tampin, berdekatan Masjid Undang Kamat, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa memandu kereta jenis Perodua Kelisa dalam perjalanan dari arah Air Mawang hendak menghala ke Johol.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan. Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi proses bedah siasat dan kes di buka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.