ALOR GAJAH – Seorang kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas kereta Perodua Kancil dipandu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4X4) dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa, Fawwaz Amir Kamarudin, 38, yang merupakan Penolong Pendaftar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik sedang dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal ke Kesang Pajak meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
“Setiba di lokasi, 4X4 jenis Isuzu DMax dari arah bertentangan cuba mengelak sebuah kereta Proton Waja tidak diketahui nombor pendaftarannya yang sedang memotong kereta dipandu si mati. DMax itu bagaimanapun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan Perodua Kancil berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ashari berkata, akibat kemalangan itu pemandu Isuzu DMax berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelia kebun durian mengalami kecederaan di bahagian dada serta kaki kanan dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE