fbpx

9 daripada 10 mangsa pemerdagangan manusia tak sedar kena tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (kanan) ketika mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini berkaitan aduan seorang wanita (kiri) yang mendakwa adiknya telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Isu pemerdagangan manusia terus menjadi mimpi ngeri bagi ribuan individu, apabila satu laporan terbaharu mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 mangsa tidak menyedari mereka telah diperdaya sebelum akhirnya dipaksa menjadi scammer dan diseksa secara fizikal serta mental.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mereka ini ditawarkan pekerjaan lain atau sekadar ajakan ingin bercuti bagi ‘memancing’ mangsa untuk bersama-sama ke Kemboja atau mana-mana negara luar yang terlibat.

“Sembilan daripada 10 mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer. Mereka ini ditipu, tak tahu lokasi yang dibawa adalah tempat sindiket scammer.

“Mungkin juga ada yang tahu tempat mereka akan dibawa adalah tempat scammer, tetapi selepas gagal capai sasaran, mereka dipaksa terus bekerja, kena seksaan tertentu, tak boleh berkomunikasi dengan keluarga,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat MHO di sini, hari ini.

Katanya, sindiket berkenaan juga menggunakan taktik menyekat peranti telefon bimbit mangsa daripada menghantar lokasi sebenar kepada keluarga selain mengawal serta memerhati perbualan mangsa dengan keluarga.

“Mereka memanipulasi data lokasi untuk mengelirukan pihak luar. Mangsa juga tidak menerima sebarang gaji seperti yang dijanjikan dan tidak dibenarkan tidur 24 jam,” katanya.

Tambahnya, modus operandi sindiket ini semakin licik dan sukar dikesan kerana mereka menukar lokasi secara kerap dan sering memberi pelbagai alasan apabila diserbu pihak berkuasa.

“Bila buat aduan, pihak polis pergi serbu kata mereka bekerja dalam keadan baik. Sindiket dakwa mangsa-mangsa ini berhutang sebab itu perlu terus bekerja. Selain itu mangsa dikatakan ada kontrak perjanjian bekerja. Tapi semua itu adalah secara paksaan,” tegasnya.

Hishamuddin berkata, MHO menggesa agar pihak berkuasa termasuk Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan ASEANAPOL (Polis ASEAN) menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras pusat-pusat penipuan yang masih aktif secara komprehensif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI