fbpx

[VIDEO] Penunggang motosikal maut dirempuh lori alami masalah brek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kemalangan tersebut.

KUALA LANGAT – Masalah brek dipercayai menjadi punca sebuah lori merempuh sebuah motosikal sehingga penunggangnya maut dalam kejadian di Kilometer 13 Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan mangsa merupakan pengawal keselamatan di KLIA berusia 40-an maut di lokasi kejadian.

Kemalangan itu turut tular menerusi video berdurasi satu minit 3 saat memaparkan detik-detik kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangi mangsa dari arah Banting ke KLIA.

Katanya, mangsa yang berhenti kerana lampu isyarat merah dilanggar sebuah lori dari arah belakang yang dipandu lelaki berusia 30an.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah tercampak dan terperosok ke bawah lori berkenaan.

“Penunggang motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemandu lori yang tidak mengalami kecederaan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah ini bagi membuat laporan polis dan telah diambil rakaman percakapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau membahayakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Sohairi Manaf di talian 019-9993077 atau 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI