Ramai dalam kalangan pencinta alam, selain persatuan dan kumpulan persendirian menyatakan kebimbangan terhadap kebanjiran spesies ikan
pendatang ini. Contohnya, ikan keli Afrika, bandaraya, baung ekor merah, patin Chao Phraya, peacock bass dan banyak lagi.
Kesemua ikan pendatang ini berasal dari luar negara, dan bukannya ikan tempatan atau asli. Kebanyakannya diimport dari negara seperti Amerika Sela-
tan, Afrika, China, India, Indonesia, Thailand dan pelbagai lagi.
Asalnya, ia dibawa masuk sebagai ikan hiasan dan ada juga yang dijadikan ikan ternakan akuakultur.
Masalah berlaku apabila ikan hiasan ini membesar dan pemilik tidak lagi mahu membelanya. Maka, ia dilepaskan ke dalam parit, sungai dan tasik.
Begitu juga dengan ikan ternakan akuakultur, apabila berlaku banjir, kolam serta sangkar ternakan melimpah keluar dan pecah. Beribu-ribu ikan-ikan terlepas ke perairan tempatan.
Kesannya amatlah dahsyat. Di sesetengah tempat, hanya ikan pendatang yang boleh ditemui. Ikan tempatan atau ikan asli, sudah tidak lagi dijumpai.
Ikan tempatan atau ikan asli ini termasuklah lampam sungai, haruan, toman, keli kampung dan banyak lagi. Ikan-ikan asli kini diancam kepupusan.
Kajian pemancing terhadap
ikan pendatang
Apakah pendapat pemancing tentang ikan pendatang ini? Apakah spesies ikan pendatang yang menjadi kegemaran mereka?
Satu kajian telah dijalankan untuk mengukur tahap kegemaran pemancing terhadap 16 spesies ikan pendatang. Seramai 132 pemancing telah menjawab soalan kajian ini.
16 ikan pendatang ini termasuklah keli Afrika, tilapia merah, tilapia hitam, mayan cichlid, kap, Cichla monoculus, Cichla temensis, patin Siam, patin Chaophraya, bandaraya, arapaima, largemouth bass, baung ekor merah, pacu, rohu dan catla.

Tiga respons yang dapat dikumpulkan. Pertama, ikan pendatang yang ‘tidak digemari’ pemancing adalah ikan bandaraya.
Kedua, ikan pendatang ‘sederhana digemari’ pemancing adalah ikan mayan cichlid, kap, pacu, rohu dan catla.
Selebihnya, ikan-ikan tersebut termasuk dalam respons ketiga iaitu menjadi kegemaran pemancing.
Malah, dalam banyak-banyak ikan
pendatang ini, tiga spesies kelihatan begitu penting bagi pemancing iaitu ikan tilapia, peacock bass dan patin (termasuklah patin Siam dan patin Chaophraya).
Mungkin ikan-ikan ini penting kerana daya ‘melawannya’. Selain itu, mungkin juga kerana nilai ikan tersebut iaitu
mudah untuk dijual dan enak jika di-jadikan hidangan.
Justeru, walaupun ikan pendatang banyak mendatangkan mudarat kepada ekosistem, namun ikan-ikan ini tetap mendapat tempat serta mempunyai kepentingan kepada pemancing.
Pengurusan berkesan
ikan pendatang
Apa yang boleh dilakukan, jika ada pemancing yang suka dengan ikan pendatang?
Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membentuk pengetahuan dan kesedaran yang jitu tentang ikan pendatang kepada masyarakat.
Lebih banyak kempen dan program kesedaran perlu dilaksanakan.
Ini boleh dilaksanakan oleh agensi yang mengurus sumber perikanan, universiti tempatan, selain pihak swasta dan pihak berkepentingan lain.
Pengetahuan tentang kewujudan ikan pendatang ini masih rendah dalam kalangan rakyat. Apa spesiesnya, apa mudaratnya, apa yang perlu dilakukan apabila tertangkap ikan pendatang?
Strategi yang mampan serta peruntukan besar diperlukan terutamanya dalam menjalankan program, aktiviti serta kempen bagi mengeluarkan atau setidak-tidaknya mengurangkan populasi ikan pendatang di perairan negara.
Sebagai contoh, kempen yang dijalankan oleh sebuah agensi kerajaan baru-baru ini dalam menggalakkan tangkapan ikan bandaraya dan baung ekor merah dengan membayar sejumlah imbuhan bagi setiap kilogram ikan ditangkap.
Kempen sebegini harus diperluaskan di seluruh negara serta melibatkan spesies ikan pendatang yang lain juga.
Selain itu, amalan tangkap dan bawa balik (catch-and-keep) boleh dijadikan sebagai solusi kepada kebanjiran ikan pendatang.
Ini terutamanya dalam kalangan pemancing yang memancing di perairan semula jadi. Mereka perlu tangkap dan simpan ikan pendatang yang telah dipancing.
Kawalan import ikan pendatang juga perlu dikuatkuasakan sepenuhnya.
Hanya kepada pengimport yang benar-benar mematuhi piawaian biosekuriti yang telah ditetapkan.
Ini kerana, jika larangan terus dikuatkuasakan, ia pasti akan mengganggu kerancakan industri perikanan rekreasi di Malaysia.
Sebagai contoh, pemancing yang memburu ikan bersaiz mega, seperti ikan arapaima atau ikan patin Chao Phraya. Mereka ini keluar memancing semata-mata untuk memburu ikan pendatang.
Perbelanjaan memancing mereka menyumbang kepada ekonomi setempat sekali gus kepada industri perikanan rekreasi negara.
Maka langkah proaktif dalam mengawal kebanjiran ikan pendatang serta pengurusan yang berkesan haruslah diperkemas dan diperketatkan.
Lebih banyak kajian bersifat ilmiah perlu dijalankan, terutama dalam mendapatkan persepsi serta kepentingan ikan pendatang kepada komuniti (termasuk pemancing).
Umpama menarik rambut di dalam tepung, langkah kawalan dan penyelesaian perlulah dilakukan dengan cekap dan bijak, serta dalam kadar segera.
Kebanjiran ikan pendatang masih boleh dirawat sebelum semuanya terlambat.














