TELUK INTAN – Penduduk yang berada di sepanjang laluan lokasi nahas yang mengakibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut di sini kelmarin mendakwa terdapat beberapa kejadian lori terbabas kerana dipandu laju untuk mengejar ‘trip’.
Ketua Kampung Sungai Lampam Kanan, Mohammed Nadzri Mat Taib mendakwa, lori sering menggunakan jalan itu untuk ke tapak pembinaan berdekatan.
Selain itu, katanya, jalan sempit dan tiada lampu isyarat mengawal trafik secara efisien turut menjadi faktor kemalangan.
“Pemandu lori membawa muatan pasir dan batu sering memandu laju dan pernah beberapa kali terbabas serta terjatuh ke dalam parit di lokasi itu.
“Jalan ini berhampiran tali air, tadika, lorong masuk ke kampung-kampung dan gerai makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Semalam, Kosmo! melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki dirempuh sebuah lori membawa muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pada pukul 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
Menurut

, terdapat jalan-jalan kecil berhampiran parit dan tali air menyebabkan pergerakan kenderaan tidak dapat dikawal terutama pada waktu puncak iaitu awal pagi dan petang.
Tambahnya, penduduk pernah mencadangkan untuk membesarkan jalan tersebut dalam satu mesyuarat yang diadakan.
“Ada satu jambatan kecil di atas tali air dan kalau berselisih di situ memang bahaya,” katanya.
Tinjauan mendapati aliran trafik agak tidak terkawal kerana saiz jalan yang kecil dan sempit selain terdapat jalan kecil untuk penduduk menuju ke kediaman, sawah padi serta ladang.
Sementara itu, pembantu kedai makan Noor’Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39, faktor laluan itu tidak mempunyai sebarang tanda amaran, tiada had kelajuan selain lampu isyarat antara penyebab risiko kemalangan tinggi.
“Kemalangan kerap berlaku tetapi nahas semalam yang paling tragis kerana meragut banyak nyawa.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu bagi mengelak perkara ini berulang kerana ia melibatkan keselamatan penduduk kampung dan pengguna jalan raya,” katanya.
Airul Amri Abd. Hamid, 31, pula berkata, nahas itu memang sesuatu yang tragis kerana melibatkan banyak nyawa.
“Memang kerap kenderaan termasuk lori terjunam atau masuk ke dalam parit kerana jalan sempit kerana dikelilingi bendang dan kelapa sawit.
“Ini antara laluan utama ke Teluk Intan, Bagan Datuk dan Kuala Selangor. Tiada lampu isyarat jadi memang ramai bawa laju kenderaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Nor Isa, 48, berkata, simpang berhampiran lokasi kemalangan itu juga sering mendatangkan kerisauan kepada mereka kerana pemandu tidak bertanggungjawab selalu keluar masuk simpang tanpa memberikan lampu isyarat.
Sehubungan itu, dia berkata, tidak mustahil sekiranya lori itu terbabas ketika cuba mengelak kenderaan yang keluar dari simpang tersebut.
Berita berkaitan: Tugasan terakhir sebelum maut dirempuh lori batu














