KEYAKINAN atlet lompat kijang negara, Nurul Ashikin Abas berada pada tahap tertinggi selepas berjaya merangkul pingat emas pertama dalam karier olahraganya.
Ashikin melakar kejayaan itu selepas mengungguli Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong 2025 dengan catatan 12.97 meter (m) pada kejohanan berlangsung di Stadium Wan Chai Sports baru-baru ini.
Ia sekali gus membakar semangatnya untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Trek & Padang Asia (ATF) di Korea Selatan minggu depan sebelum ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Jerman pada Julai nanti.
“Ini kali pertama saya menang emas di kejohanan luar melawan atlet-atlet yang juga akan bertanding di Sukan SEA nanti. Sudah pasti saya akan perbaiki prestasi dan buat lebih baik lagi.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi pembukaan tahun 2025. Namun, masih banyak ruang untuk penambahbaikan dan ini menjadi motivasi untuk saya terus bekerja lebih keras,” ujar Ashikin.
Perkembangan itu memberi petanda positif buat kem olahraga negara sebelum ke Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung pada Disember depan.
Ini disebabkan Ashikin berjaya mengatasi dua seteru Asia Tenggara idi Hong Kong, Parinya Chuaimaroeng (Thailand) dengan catatan 12.95m dan Tia Louise Rozario dari Singapura (12.89m) yang masing-masing meraih pingat perak serta gangsa.
Kali terakhir Ashikin yang berasal dari Perak berusia 25 tahun itu meraih pingat ketika Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Indonesia yang menyaksikannya meraih tempat kedua.