fbpx
ANDRE berpeluang menjadi atlet lompat kijang negara yang pertama membuat penampilan di pentas Olimpik sekiranya layak ke edisi Paris 2024.

Misi Andre pahat sejarah di Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar berpeluang merekodkan sejarah baharu buat arena olahraga tanah air dengan menjadi atlet pertama dalam acara itu beraksi di pentas Sukan Olimpik pada edisi 2024 di Paris, Perancis.

Andre, 24, mampu melayakkan diri ke pentas berprestij dunia itu yang akan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos nanti dengan cara menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik berdasarkan ranking World Athletics.

Ia adalah cara paling realistik buat atlet dari Tenom, Sabah itu untuk melayakkan diri secara merit berbanding mencapai had kelayakan ditetapkan iaitu 17.22 meter (m).

Had kelayakan ditetapkan itu dianggap terlalu sukar buat Andre memandangkan catatan terbaiknya untuk acara lompat kijang adalah 16.51m.

Andre ketika ini berada di kedudukan ke-30 berdasarkan semakan ranking ke Sukan Olimpik dan mampu mengukuhkan peluangnya jika berjaya meraih keputusan positif pada dua kejohanan Jelajah Benua Olahraga Dunia Taraf Gangsa di Australia bulan depan.

“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka mempunyai peluang untuk ke Sukan Olimpik sehinggalah saya dan jurulatih (Ahmad Firdaus Salim) dimaklumkan ketika bermesyuarat dengan MSN (Majlis Sukan Negara).

“Untuk sekarang, apa yang saya perlu lakukan adalah menampilkan aksi cemerlang untuk dua kejohanan di Australia dan satu di New Zealand. Ini bakal menjadi penentu sama ada saya akan (layak) ke Sukan Olimpik ataupun sebaliknya.

“Kejohanan di Australia adalah bertaraf Gangsa, jadi mata ranking yang ditawarkan amat banyak. Saya perlu mengutip sebanyak yang boleh dengan membuat lompatan sejauh 16.5m ke atas. Jika berjaya menang, saya anggap itu bonus.

“Sukar juga (mengekalkan kedudukan dalam kelompok 32 terbaik) tetapi bagi saya tiada apa yang mustahil,” jelas Andre yang memegang rekod lompat jauh kebangsaan dengan catatan 8.02m.

Sejak Malaysia mula menyertai Sukan Olimpik 1956 di Melbourne, Australia, masih tiada atlet lompat kijang negara beraksi untuk acara itu.

Bagi acara lompat jauh juga masih tiada wakil lain sejak Kaimaruddin Maidin membuat penampilan sewaktu edisi 1960 di Rom, Itali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN