fbpx

Motosikal Yamaha RXZ tak dapat, simpanan RM11,900 yang ‘lebur’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pemandu lori untuk memiliki sebuah motosikal Yamaha RXZ Bosh bukan sahaja tidak kesampaian malah dia kerugian RM11,900 pada kelmarin.

Lelaki berusia 43 tahun tersebut membuat laporan berhubung kes tersebut di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu di sini pada pukul 5.21 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pemandu lori tertarik untuk membeli motosikal tersebut apabila melihat iklan penjualannya di laman Facebook di rumahnya di Kampung Buluh di sini pada pukul pukul 1.30 pagi, Ahad lalu.

“Mangsa kemudiannya menghubungi individu yang mendakwa mahu menjual motosikal Yamaha RXZ Bosh berwarna hitam keluaran 1995 berkenaan.

“Hasil perbincangan dia bersetuju untuk membeli motosikal itu dengan harga RM11,900,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pemandu lori tersebut kemudiannya ke Kampung Batu Hampar, Manir di sini untuk melihat sendiri motosikal terbabit pada, pukul 2.35 petang, kelmarin.

Beliau berkata, lelaki itu yang berpuas hati telah membuat pembayaran penuh pembelian motosikal tersebut secara pindahan bank.

“Begitupun dia terkejut apabila pemilik sebenar motosikal Yamaha RXZ berkenaan mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dibuat.

“Pemilik motosikal itu juga menafikan nombor telefon dan akaun bank diberi individu berurusan dengan mangsa adalah miliknya,” katanya.

Azli berkata, pemandu lori menyedari dirinya tertipu apabila bukan hanya tidak dapat menghubungi semula malah nombor telefonnya juga disekat individu yang mendakwa mahu menjual motosikal terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI