MINAT dan bakat melukis yang dimiliki sejak kecil mendorong anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini untuk menyertai pertandingan melukis sehingga melayakkan karyanya dibawa ke Jepun bagi pertandingan International Foundation for Arts and Culture (IFAC) tahun lalu.
Biarpun tidak menang, namun Sharvin Naidu tetap seronok apabila lukisannya sampai ke peringkat antarabangsa, memandangkan peluang tersebut adalah sesuatu yang cukup bermakna buatnya.
Berkongsi dengan K-Remaja, remaja berusia 17 tahun itu memberitahu, sejak kecil dia banyak melukis potret dan pelbagai karakter kegemaran antaranya watak adiwira Spiderman.
Sehinggalah tahun lalu, guru seni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24, Shah Alam iaitu Zuraini Mohamed dan Norsalina Kamis mula menyedari bakat lukisan yang ada pada Sharvin, lantas mendorong remaja itu untuk mencuba nasib dengan menyertai pertandingan melukis di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Guru seni saya memaklumkan tentang pertandingan lukisan kebudayaan dan menyuruh saya untuk menghasilkan satu lukisan yang memaparkan budaya Malaysia dan juga Jepun.
“Saya menghasilkan lukisan dua orang wanita iaitu seorang wanita berkebaya dan juga seorang lagi wanita memakai pakaian tradisional Jepun iaitu kimono.
“Bagi pertandingan itu, saya muncul johan di peringkat negeri (Selangor), manakala bagi peringkat kebangsaan pula lukisan saya muncul sebagai bagi empat terbaik yang seterusnya dibawa ke Jepun,” katanya membuka bicara.

Jepun.
Sharvin memberitahu, memandangkan tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka dia memperlahankan pembabitan dalam aktiviti kesenian bagi memberi tumpuan terhadap pelajaran.
Sharvin memberitahu perlu bijak membahagikan masa bagi memastikan kedua-duanya seimbang.
“Saya merupakan pelajar jurusan seni dan cara saya membahagikan masa adalah selepas sekolah, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah berkaitan seni.
“Sebelah malam pula, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang lain,” ujarnya.
Kongsi Sharvin lagi, dia juga amat bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya memberi sokongan penuh terhadap minatnya dan merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang seni.
“Memandangkan ini merupakan satu-satunya minat atau hobi saya, maka selepas habis SPM kelak, saya mahu menyambung pengajian dalam bidang rekaan grafik.
“Saya mahu terus mengembangkan bakat lukisan saya ke arah rekaan grafik pula,” katanya.
Sharvin juga menitipkan nasihat buat remaja seusianya yang mungkin mempunyai bakat melukis tetapi tidak nampak peluang untuk menyertai pertandingan.
“Bagi saya, anda boleh cuba bercakap dengan guru-guru dan tunjukkan bakat lukisan anda kepada mereka.
“Dari situ, anda akan lebih terbuka untuk menyertai pertandingan. Malah, saya juga secara peribadi melihat penyertaan dalam pertandingan juga menjadikan saya seorang yang lebih yakin,” katanya menutup bicara.














