JOHOR BAHRU – Niat seorang warga emas menyertai satu pelaburan bagi menambah wang simpanan persaraan bukan sahaja tidak kesampaian, malah kerugian RM459,000 selepas terjerat sindiket penipuan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 73 tahun itu menyertai pelaburan tidak wujud tersebut sejak Disember lalu.
Katanya, mangsa yang menetap di Taman Suria di sini memaklumkan menerima tawaran pelaburan dan pembelian saham sebuah syarikat antarabangsa pada Disember 2024. Tawaran itu dihantar melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa memaklumkan dia dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp untuk mempelajari cara-cara urus niaga saham menggunakan aplikasi dalam talian.
“Suspek mendakwa pelaburan itu beroperasi di Malaysia dan China. Suspek turut menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 hingga 200 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu melakukan 23 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam 10 akaun bank sejak 10 Januari hingga 17 April lalu.
Jelasnya, pada awalnya mangsa menerima pulangan sebanyak RM18,360, menyebabkan dia yakin untuk menambah wang pelaburan.
“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dia ditipu selepas diminta membayar ‘wang proses’ bagi mengeluarkan keuntungan seterusnya.
“Siasatan awal mendapati nombor akaun bank tersebut pernah digunakan dalam kes penipuan sebelum ini,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE