fbpx
Khairul Shahril menunjukkan kedudukan lokasi gempa bumi yang berlaku di Myanmar di Putrajaya baru-baru ini. ­– FAIZ ALIF ZUBIR

Suhu 41 darjah Celsius cabaran pasukan SMART di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOORDINASI strategik dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor ketika menguruskan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu memberi terjemahan akan kepentingan peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai badan induk pengurusan bencana negara menerusi dokumen Arahan Nadma No. 1.

Meskipun jenama Nadma lebih dikenali dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), namun agensi itu memainkan peranan utama dalam menyelaras keseluruhan mekanisme pengurusan bencana sekiranya sesuatu musibah terjadi.

Selain itu, peranan Nadma juga bukan sekadar memastikan keseluruhan operasi berjalan lancar menerusi Arahan Nadma No.1, tetapi berperanan memastikan seluruh penyaluran peruntukan bantuan dilaksanakan sebaiknya.

Mengupas lebih lanjut mengenai peranan agensi tersebut dalam mengendalikan sesuatu bencana dan keupayaan SMART berdepan tragedi peringkat antarabangsa, wartawan Kosmo! Ahad RIDZAUDDIN ROSLAN berpeluang menemu bual Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO! Ahad: Boleh kongsikan mengenai peranan dimainkan Nadma dalam aspek pengurusan bencana negara?
KHAIRUL SHAHRIL: Bercakap mengenai pengendalian bencana, peranan Nadma boleh dikategorikan kepada tiga pecahan iaitu sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana berlaku.
Dalam konteks sebelum, pe­ranan Nadma ialah mengemukakan dokumen termasuk Arahan Nadma No.1 selain menilai dasar strategik yang bersesuaian sebagai rujukan agensi terlibat.

Selain itu, latihan juga akan dibuat bersama agensi tindak balas bagi membolehkan mereka mengetahui peranan masing-masing

Nadma juga akan menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri sebagai penggerak utama sekiranya bencana berlaku di negeri atau daerah.
Bagi fasa semasa pula, ­Nadma akan memastikan sumber di pe­ringkat negeri dan daerah mencukupi, dan selepas itu memfokuskan aspek rehabilitasi seperti pembinaan semula dan pembersihan di kawasan terjejas.

Insiden Putra Heights memberi impak kemusnahan harta benda, apakah antara bentuk bantuan yang diberikan kepada mang­sa?
Bantuan kepada mangsa bencana seperti insiden di Putra Heights akan disalurkan Nadma menerusi kerajaan negeri dan dalam hal ini ia melibatkan kerajaan negeri Selangor.

Antara bantuan yang disalurkan termasuk Wang Bantuan Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas selain RM10,000 kepada waris mangsa yang kehilangan nyawa.

Bantuan lain turut diberikan seperti bantuan kerosakan rumah bernilai RM10,000 bagi kediaman yang musnah sepenuh­nya, selain RM5,000 untuk rumah yang separa musnah.
Kerajaan Selangor turut me­nyalurkan bantuan sewa rumah selama tiga bulan kepada 70 mangsa terlibat dengan bantuan berjumlah RM2,000 sebulan di­salurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Sekiranya berlaku sesuatu bencana, bagaimana Nadma mengklasifikasi sebelum tindakan diambil?
Menerusi Arahan Nadma No.1, klasifikasi insiden bermula de­ngan penilaian di peringkat daerah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Penilaian itu mengambil kira beberapa faktor seperti tahap kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda berskala besar, ancaman kepada infrastruktur selain kemampuan agensi tempatan mengawal situasi.

Namun, jika insiden melebihi respons tempatan, ia akan dinaik taraf kepada peringkat ne­geri dan seterusnya ke peringkat Pusat untuk koordinasi Nadma sekiranya perlu.
Untuk makluman, pendekatan itu selaras dengan prinsip Sendai Framework yang mengutamakan tindakan cepat dan keputusan berdasarkan realiti setempat.

Baru-baru ini gempa bumi kuat melanda Myanmar dan apa prosedur perlu dilakukan sebelum SMART dihantar ke sana?
Bagi penghantaran SMART untuk membantu mangsa-­mangsa gempa bumi di Myanmar baru-baru ini, kita ada gariskan dua kaedah mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

Kaedah pertama adalah kita menerima permohonan terus dari Myanmar yang boleh dilaksanakan berikutan hubungan kerajaan antara kerajaaan (G2G). Apabila dapat permohonan, kita segera hantar pasukan SMART ke sana.

Kaedah kedua pula me­lalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Di­saster Management (AHA Centre) iaitu satu agensi di bawah ASEAN.
Jadi, apabila kita terima permohonan di peringkat ASEAN, maka kerajaan akan mengatur gerak jentera khas ke kawasan bencana seperti di Myanmar.

Boleh kongsikan antara cabaran dan langkah ke­selamatan yang diambil pasukan SMART ketika misi menyelamat di Myanmar?
Tidak dinafikan banyak cabaran dihadapi pasukan pasukan SMART ketika menjalankan misi menyelamat mangsa gempa bumi di negara tersebut.
Selain cuaca panas ekstrem mencecah 41 darjah Celsius di tapak operasi, pasukan SMART juga perlu menempuh kira-kira 11 jam perjalanan darat ke Wilayah ­Sagaing sebaik tiba di lapangan terbang.

Pada masa sama, pergerakan SMART juga sedikit terbatas ekoran akses yang dihadkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, pasukan SMART berjaya memberikan ­prestasi cemerlang dengan me­ngatasi segala cabaran tersebut kerana telah bersedia dari segi teknikal dan mental.

Bercakap mengenai langkah keselamatan yang diambil, pasukan SMART sentiasa memberi fokus kepada beberapa aspek termasuk pemeriksaan keselamatan struktur sebelum menyelamat, selain membuat evakuasi serta-merta sekiranya terdapat gegaran susulan.

Adakah pasukan SMART- Nadma dipandang tinggi oleh negara antarabangsa terma­suk Myanmar?
Pasukan tersebut membuktikan kecemerlangan mereka dalam pelbagai misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan ­solidariti rentas sempadan.

Dalam misi ke Myanmar, kecekapan operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan SMART mendapat penghargaan rasmi daripada kepimpinan M­yanmar.
Selain itu, menerusi misi ke Turkiye pada tahun 2023, pasukan tersebut berjaya mengeluarkan lebih 52 mangsa yang terperangkap dalam runtuhan, seterusnya membuktikan keupayaan beroperasi bawah tekanan serta persekitaran beri­siko tinggi.

Pengiktirafan antarabangsa terhadap pasukan SMART turut mencerminkan pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan melangkui segala perbezaan geopolitik yang mana Malaysia akan terus memberikan bantuan di ­peringkat antarabangsa.

Ketika ini berapa jumlah kekuatan SMART-Nadma dan aset dimiliki?
Nadma sebagai agensi pe­ngurusan mempunyai seramai 91 ka­kitangan tetap, manakala pasukan SMART mempunyai seramai 126 anggota tetap yang diiktiraf INSARAG sebagai Heavy USAR Team iaitu lengkap de­ngan peralatan taktikal termasuk logistik dan sistem komunikasi lapangan.

Bagaimanapun, kekuatan Nadma turut disokong dengan kepimpinan tinggi negara serta agensi lain yang terlibat dengan pengurusan bencana negara.
Pada masa sama, kekuatan ­Nadma juga tidak wajar diukur dengan headcount sahaja ekoran keupayaan sebenar agensi adalah menyelaras keseluruhan jentera pengurusan bencana negara melibatkan agensi tindak balas, teknikal, sokongan serta bantuan dan pemulihan.

Mengikut struktur rasmi Arahan Nadma No. 1, semua agensi yang disebutkan mempunyai peranan dinyatakan dengan jelas dan di peringkat mana mereka terlibat.

Mesyuarat di peringkat JPBD, JPBN dan JPBP adalah satu ma­nifestasi komitmen semua agensi peringkat Persekutuan dan negeri untuk membuat persediaan walaupun di dalam keadaan aman.
Jika sesuatu bencana berlaku, gerak kerja operasi diselaraskan di peringkat strategik menerusi pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), manakala di peringkat taktikal pula di Pusat Kawalan tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan.

Dengan struktur ini, Nadma menyediakan platform untuk semua agensi yang terlibat bertindak dengan sistematik menerusi rangka whole-of-nation approach bagi memastikan operasi bencana diurus secara teratur.

Berapakah jumlah peruntukan diberikan kerajaan kepada Nadma ?
Secara asasnya, setiap peruntukan tahunan bergantung kepada keperluan semasa dan kerajaan akan sentiasa memastikan ia mencukupi.

Peruntukan diterima Nadma disalurkan kepada semua ne­geri bagi tujuan pemberian BWI kepada mangsa bencana serta bagi pengurusan operasi semasa musim Monsun Timur Laut.
Selain itu, peruntukan itu juga akan digunakan bagi pembekalan kit makanan, jambatan keluli bermodular, penyediaan pusat pemindahan kekal bencana, penyediaan State Disaster Command Center serta

pembaikan kecil pusat pemindahan sementara.
Dalam konteks ini, Nadma akan memainkan peranan sebagai penyelaras nasional bagi memastikan semua peruntukan dimanfaatkan secara cekap dan tersusun mengikut keperluan semasa.

Boleh jelaskan mengenai Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara dan bagaimana dana itu digunakan?
Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara adalah dana khas yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan bagi membo­lehkan bantuan kepada ­mangsa disalurkan secara cepat dan berkesan tanpa melalui proses kelulusan bajet tahunan biasa.

Wang itu akan dibiayai melalui peruntukan khas Kerajaan Persekutuan dan boleh ditambah mengikut keperluan semasa. Ia juga disumbangkan menerusi sumbangan sektor swasta dan masyarakat awam.
Nadma akan menguruskan dana itu secara berhemah dan penyelarasan serta pelaporannya dibuat di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan pengunaannya telus dan mematuhi keperluan sebenar di lapangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN