fbpx

Misi pingat emas Olimpik diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU ZAFRUL (kanan) bersama Norza (tengah) selepas dilantik sebagai Presiden BAM yang baharu semalam. - AMIR KHALID

MISI membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik disambung Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas dilantik pada pemilihan badan induk itu semalam.

Sasaran itu terus digalas kerana menganggap ia bukan sahaja aspirasi BAM ataupun pemain tetapi merupakan impian seluruh rakyat Malaysia yang masih mengharapkan pingat emas pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Tengku Zafrul dan kepimpinan baharu memerlukan pelan yang jelas kerana misi mereka turut melibatkan usaha meletakkan Malaysia kembali di persada dunia.

“Berhubung (pingat emas) Los Angeles (LA) 2028, ia adalah aspirasi semua rakyat bagi mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik. Memang diakui sukan badminton merupakan peluang terbaik untuk melakukannya (pingat emas).

“Memang itu adalah sasaran saya, jadi kita perlukan pelan yang jelas bagi melaksanakannya. Kita bukan setakat nak pingat tetapi mahu meletakkan nama kita di persada dunia,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu dipilih sebagai presiden ke-13 BAM selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Majlis badan induk tersebut.

Sementara itu, Tengku Zafrul juga mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk legenda tanah air dalam usaha kembali mengangkat martabat Malaysia sebagai salah satu kuasa besar sukan badminton dunia.

“Saya akan dapatkan pandangan semua pihak termasuk media dan legenda-legenda kita. Saya pasti mereka ada pandangan tersendiri, mereka dialu-alukan selagi ia sesuatu yang positif,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden 1, Datuk V. Subramaniam dan Timbalan Presiden 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengekalkan jawatan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI