RUANG kediaman dengan percikan rona-rona terang atau bold mempunyai pesonanya tersendiri.
Padanan warna berlawanan jika bijak disuaipadankan akan menghasilkan kediaman yang berkarakter.
Selepas lama menghias kediaman dengan konsep Muji yang banyak bermain dengan rona tanah, Muhammad Yusri Yusof, 38, dan isteri, Nurul Suhaida Mohd. Sabri, 32, sepakat menukar dekorasi rumah kepada tema mid century modern dan modern eclectic.
Berkongsi dengan CitaRasa, Muhammad Yusri berkata, idea itu timbul selepas melihat rumahnya terasa seakan-akan kosong dan kurang seri.
“Sebelum ini konsep yang kami terapkan pada rumah adalah Muji atau Scandinavian.
“Saya kemudian membeli satu kerusi dari gedung perabot Ikea berwarna jingga dan ia nampak ‘elok’ apabila diletakkan di dalam rumah.
“Ketika itu, saya mula mengenali konsep mid century modern menerusi aplikasi seperti YouTube, TikTok dan Pinterest,” katanya.

Muhammad Yusri menambah, kediaman jenis apartmen di Cyberjaya itu turut digabungkan dengan konsep modern eclectic.
Saat kaki melangkah masuk, mata tetamu pastinya akan ‘menangkap’ satu unit rak jenis terbuka dikenali sebagai ‘byakorre’ kerana ronanya yang disifatkan oleh Muhammad Yusri sebagai ‘meriah’.
Bahkan, ruang masuk (entrance) itu juga merupakan tempat paling disukainya.
Ujarnya, ruang itu kelihatan seperti tempat pameran kepada pelbagai barangan hiasan menarik yang dimiliki oleh pasangan tersebut.
Pilihan item dekorasi pada ruangan itu juga menyerlahkan elemen modern eclectic, sekali gus menjadikan ruang itu nampak berseri.
Menjengah ke ruang tamu kediaman, Muhammad Yusri memberitahu, kawasan itu juga menjadi tarikan utama di rumah tersebut kerana menjadi ‘port’ dia dan keluarga bersantai atau menonton televisyen.
“Tarikan yang ada pada ruang ini adalah kombinasi warna-warna yang cukup berlawanan atau orang kata tidak sepadan.
“Selain itu, saya letakkan wall art bagi menambah karakter pada ruang tamu,” katanya.
Muhammad Yusri juga berkongsi bahawa dia dan isteri tidak menghabiskan wang yang banyak untuk menghias rumah dengan konsep pilihan tersebut.
Ujarnya, hal ini kerana kebanyakan barangan yang dibeli adalah merupakan item terpakai.
Biarpun kediamannya nampak menyerlah, namun Muhammad Yusri berhasrat untuk membuat penambahbaikan pada beberapa sudut.
Misalnya, mengecat bingkai dan pintu bilik tidur dengan warna-warna terang.














