NEW DELHI – India menyatakan bahawa Pakistan melancarkan antara 300 dan 400 dron merentasi 36 lokasi dari Leh hingga Sir Creek untuk menyerang kemudahan tentera India, lapor akhbar Hindustan Times semalam.
Menurut New Delhi, pihaknya menggunakan sistem peluru berpandu S-400 Triumph, peluru berpandu Barak-8, misil permukaan-ke-udara Akash dan teknologi anti-dron DRDO untuk menggagalkan serangan Pakistan.
“Angkatan tentera kami menembak jatuh banyak dron ini. Sebuah pesawat bersenjata tanpa juruterbang juga dihantar untuk menyerang stesen tentera Bhatinda tetapi percubaan Pakistan digagalkan,” kata Komandan Vyomika Singh semasa taklimat media.
Beliau menambah, sebagai tindakan balas, India mengerahkan pasukan dron bersenjata menyasarkan empat lokasi pertahanan udara Pakistan dan berjaya memusnahkan sistem radar.
Kerajaan India mengesahkan bahawa dron dan peluru berpandu Pakistan menceroboh ruang udara India malam kelmarin dan semalam.
Pada minggu ini, New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu untuk menyerang apa yang didakwa sebagai kem-kem ‘pengganas’ di Pakistan sebagai sebahagian daripada tindakan balas terhadap serangan di Pahalgam, wilayah Kashmir ditadbir India, pada 22 April lalu,. – AGENSI