LE MANS – Pasukan Monster Energy Yamaha enggan terlalu mendabik dada biarpun sudah kembali berada di podium pada Grand Prix (GP) Sepanyol yang berlangsung di Litar Jerez dua minggu lalu.
Pelumba utamanya, Fabio Quartararo tidak menganggap kejayaannya muncul naib juara pada perlumbaan di Jerez sebagai penanda aras baharu buat Yamaha menjelang GP Perancis di Litar Le Mans hujung minggu ini.
Sebaliknya, Quartararo mahu Yamaha kekal dengan sikap merendah diri meskipun dia bakal beraksi di laman sendiri selain rekod cemerlang pasukan itu yang memenangi GP perancis sebanyak tujuh kali dalam era moden.
“Pertama sekali kami perlu menggunakan pendekatan sama seperti perlumbaan di Jerez sebelum ini. Kami langsung tidak meletakkan harapan untuk berada di petak depan mahupun menjejakkan kaki di podium.
“Bagaimanapun, sekiranya anda mula mendapat rentak, maka di situlah peluang untuk cuba mencabar perlumbaan, tetapi tidak bermakna kami mula mengintai podium selepas apa yang berlaku di Jerez,” katanya.
Bekas juara dunia itu turut mengakui, penggunaan enjin baharu sedikit sebanyak memberi kelebihan buat jentera YZR-M1, terutamanya bagi menghasilkan pecutan terbaik ketika melalui jalan lurus.
“Secara dasarnya, ia masih sama dengan sebelum ini, cuma kuasa (pecut) ada sedikit peningkatan. Ia satu langkah kecil tetapi sangat membantu kami ketika berlumba di litar yang memiliki laluan lurus,” ujar Quartararo. – AGENSI