fbpx

Angka korban konflik India-Pakistan meningkat kepada 31

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berdiri di atas serpihan struktur yang musnah di kompleks Kesihatan dan Pendidikan Kerajaan di Muridke, Pakistan semalam. - AFP

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera di Pakistan akibat serangan udara India semalam, lapor laman berita ABC News.

“Sekurang-kurangnya 46 orang cedera,” kata jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry dalam sidang akhbar awal semalam.

Kementerian Luar negara itu berkata, ia telah memanggil diplomat tertinggi India di Pakistan.

“Serangan itu merupakan pencabulan yang jelas terhadap kedaulatan Pakistan,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

“Pihak India diberi amaran bahawa tingkah laku melulu seperti itu menimbulkan ancaman serius kepada keamanan dan kestabilan serantau,” tambahnya.

Serangan peluru berpandu awal semalam berlaku di tengah-tengah ketegangan meningkat ketika India terus menyalahkan Pakistan atas serangan maut pada April lalu di wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian.

Serangan militan dikenali sebagai insiden Pahalgam itu telah menyebabkan 26 orang terbunuh di wilayah Kashmir yang dikuasai India.

Pegawai tentera Pakistan semalam berikrar untuk bertindak balas dari udara dan darat serta mengatakan bahawa Pakistan memiliki hak untuk bertindak balas dalam mempertahankan diri pada masa, tempat dan cara pilihannya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, India ‘akan membayar harga tinggi’ untuk serangan semalaman ke atas Pakistan dalam ucapan kepada seluruh negara itu semalam.

“Kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah adalah antara mereka yang mati dalam serangan pengecut India.

“Kami berjanji bahawa setiap titisan darah mereka ini akan dihisab,” kata Shehbaz.

Semasa berucap di Parlimen Pakistan semalam, Shehbaz berkata, tentera Pakistan memberi pengajaran kepada tentera India dalam perang konvensional semasa pertempuran semalaman.

“Ini adalah perang konvensional, bukan perang nuklear. Kami memberi mereka pengajaran dalam perang konvensional,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI