MELAKA – Seorang imam warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki yang juga anak muridnya, Februari lalu.
Tertuduh, Malkan Maha, 28, yang juga merupakan guru di sebuah pusat tahfiz di Bukit Rambai bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 hingga 11 malam di tanah lot bernombor, Solok Setulang Daeng, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Februari 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh sebutan baharu dan tertuduh dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.
Peguam L. Sharveen yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh bekerja sebagai imam dan juga guru tahfiz dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain menanggung ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya yang lain.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menetapkan tarikh 10 Jun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE