KUALA LUMPUR – Kerajaan meneliti cadangan bagi pembangunan satu tempat persidangan baharu bertaraf antarabangsa yang boleh digunakan untuk pelbagai acara dengan Malaysia sebagai tuan rumah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan tersebut adalah di Bandar Malaysia dan perkara itu telah diutarakan pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Kita cadangkan satu bangunan persidangan peringkat antarabangsa yang lebih baik dan sesuai. Malaysia mungkin jadi tuan rumah beberapa persidangan pada masa depan.
“Perlu satu tempat persidangan baharu yang lebih baik. Tempat ini pun sudah lama dan kesesuaian perlu dilihat dalam beberapa aspek termasuk keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mohamad berkata, pada masa ini Malaysia juga sedang membida untuk menjadi tuan rumah kepada Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan Sidang Kemuncak Pertubuhan/Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
“Memang Kabinet memandang baik cadangan (bangunan baharu) supaya ia dikaji terutama semua kementerian untuk memberikan input.
“Seterusnya kita akan minta supaya input daripada pihak keselamatan untuk mereka memberikan pandangan,” katanya.
Berhubung kesiapsiagaan bagi Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei di sini, beliau berkata, beliau berpuas hati dan ia dalam keadaan baik.
“Bagaimanpun kita perlu berhati-hati kerana kita tidak boleh menjangkakan apa yang mungkin berlaku. Jadi kita mesti sentiasa dalam keadaan bersedia dan berhati-hati.
“Aspek keselamatan ini merupakan aspek amat penting di dalam persidangan terutama di peringkat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE