COSTUM Play (cosplay) merupakan satu bentuk seni persembahan iaitu individu menyarungkan kostum sebagai watak daripada anime, manga, permainan video, filem atau siri televisyen.
Lebih daripada sekadar memakai pakaian, cosplay melibatkan elemen solekan, gaya rambut, prop serta ekspresi watak untuk menghidupkan karakter tersebut dalam dunia nyata.
Bagi Nur Farah Amani, budaya popular dari Jepun itu memberi dirinya peluang untuk ‘menjadi’ watak-watak kegemarannya.
“Melalui hobi cosplay, saya mendapat peluang untuk benar-benar merasai jiwa karakter kegemaran apabila saya bukan sahaja menyarung kostum, tetapi lengkap dengan solekan dan ekspresi watak.
“Melalui seni fotografi cosplay pula, saya dapat menghidupkan semula dunia fiksyen itu dan berkongsi dengan orang ramai,” katanya yang lebih dikenali sebagai Airin dalam komuniti cosplay.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam dunia cosplay, wanita berusia 20 tahun itu terlibat secara aktif pada 2016 setelah meminati anime sejak zaman kanak-kanak lagi.
Gadis dari Pulau Pinang itu menyertai kira-kira 15 hingga 20 acara dan konvensyen berkaitan cosplay dalam masa setahun.
Walaupun lebih kerap membeli kostum siap, Airin terlibat sendiri dalam penghasilan prop dan penggayaan rambut palsu (wig).
Kreativiti dengan sentuhan peribadi itu dilakukan bagi memastikan setiap penampilan lebih autentik dan menepati karakter yang dibawakan.

memberi tumpuan penuh kepada teknik solekan khas yang mengubah raut wajahnya supaya menyerupai watak fiksyen.
Menurut Airin, dunia cosplay bukanlah semudah yang disangka kerana para cosplayer sering menghadapi cabaran dari segi emosi dan mental.
“Ramai orang ingat cosplay ini hanya untuk berseronok, tetapi hobi ini sebenarnya memerlukan banyak tenaga, kemahiran, masa dan kos yang tinggi.
“Kadang-kadang, saya sendiri mengalami keletihan melampau (burnout) kerana perlu menghasilkan persembahan yang berkualiti dan memuaskan hati sendiri serta peminat,” katanya.
Salah satu projek cosplay yang paling membanggakan bagi Airin adalah apabila dia membawakan watak Sylus daripada permainan Love and Deepspace.
Ini kerana, kemahiran solekan serta penghasilan foto-fotonya terserlah menerusi penggayaan watak permainan video tersebut.
Airin juga pernah mendapat peluang untuk bekerjasama dalam projek promosi bagi watak-watak permainan video yang diperagakannya.
Antara keunikan mengenai Airin adalah keterbukaannya untuk mencuba cosplay watak daripada pelbagai latar belakang.
Bagi memastikan penyampaian karakter kekal autentik, Airin memberi tumpuan penuh kepada teknik solekan khas yang mampu mengubah raut wajahnya supaya menyerupai watak fiksyen.
Tambahan pula, dia akan menyesuaikan wig dan menambah aksesori seperti kasut bertumit tinggi sehingga 10 sentimeter bagi memberikan ilusi fizikal yang menepati karakter asal.
“Saya tak berlakon jadi jantina lain, saya cuma mahu menzahirkan karakter itu sebaik mungkin biarpun ia merupakan watak lelaki.
“Saya juga pernah memakai kostum watak kanak-kanak dan menjiwai watak tersebut,” katanya.
















