HULU TERENGGANU – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberi keutamaan untuk membaiki Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, Hulu Terengganu dekat sini, yang telah mengalami kerosakan teruk akibat musim tengkujuh sejak hampir enam bulan lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau akan membawa isu pembaikan laluan alternatif ke Gua Musang, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang tersebut ke mesyuarat Kabinet pada esok.
“Saya memahami kepayahan penduduk setempat yang terputus hubungan akibat jalan runtuh tersebut. KKR akan mencari jalan agar projek pembaikan jalan itu dapat disegerakan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di ABM Wilayah Timur di sini hari ini.
Laluan meliputi Kilometer 187 hingga 189, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris tersebut terpaksa ditutup untuk kegunaan semua kenderaan sejak 28 November lalu ekoran mendapan tanah pada musim tengkujuh.
Kerajaan negeri Terengganu sebelum ini telah memohon peruntukan RM36 juta bagi kerja-kerja pembaikan meliputi pembinaan jambatan baharu, kerja-kerja membaik pulih cerun, membina sistem perparitan dan laluan sementara serta mengalih insfrastruktur utiliti dan jalan.
Katanya, kerja-kerja baik pulih tidak dapat dimulakan lagi ekoran kos pembaikan sebanyak RM36 juta terlalu tinggi sehingga kementeriannya memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan.
“Selalunya kos (kerja-kerja pembaikan) tanah dan jalan runtuh ini tidaklah sebanyak itu (RM36 juta) sehingga kita (KKR) memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE