fbpx

Pamela sempat beri RM100 sebelum dipaksa ikut ‘polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemela

KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing sempat menerima wang tunai berjumlah RM100 daripada Datin Seri Pamela Ling Yueh sebelum wanita itu dipaksa mengikuti individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Pamela sebelum ini dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi kete­rangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 9 April lalu.

Pemandu yang ingin dikenali sebagai Kok, 55, berkata pada hari kejadian dia mengambil Pamela dari Bangunan Velocity 2 ke SPRM Putrajaya.

Katanya, ketika dalam perjalanan dia tidak berbual bersama Pamela namun mendengar wanita itu menelefon seseorang dengan bersuara perlahan.

“Apabila hampir sampai, nak belok ke pejabat SPRM, tiba-tiba tiga kereta muncul dari depan, belakang dan bahagian kiri.

“Ada dua lelaki pakai ‘vest’ polis, berpakaian kasual dan seorang wanita beruniform polis turun dari dua buah kereta.

“Mula-mula Pamela enggan turun, tetapi wanita beruniform polis menarik Pamela sebelum dua lelaki menjelaskan bahawa tangkapan ini hanya untuk membantu siasatan di balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

Kok berkata, setelah mendengar penjelasan tersebut, Pamela akhirnya akur dan menyerahkan wang tunai RM100 kepadanya.

“Penculik itu kemudiannya memaksa saya untuk menekan butang ‘complete job’ serta mengambil nombor telefon, lesen memandu dan kad pengenalan saya,” ujarnya.

Dakwa Kok, disebabkan kad pengenalannya hilang, dia telah membuat laporan polis di balai berdekatan sejurus kejadian tersebut berlaku.

“Disebabkan kejadian itu, saya tidak dapat membawa e-hailing kira-kira dua minggu. Lepas dapat kad pengenalan baru, barulah saya boleh bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa ketika dihubungi hari ini tidak memberikan sebarang jawapan berhubung kes itu.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Abangnya, Simon Ling Wan Siong, turut mengeluarkan ke­nyataan memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya itu.

Menurut Wan Siong, Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 petang, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

Sehingga hari ini, Pamela sudah hilang selama 27 hari.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI