BULAN lalu menjadi detik paling bermakna buat penggemar ruang angkasa kerana berlakunya bulan purnama musim bunga yang dipanggil pink moon atau bulan merah jambu.
Meskipun tidak berlaku secara alamiah atau bulan tersebut kelihatan benar-benar berwarna merah jambu, namun fenomena tersebut tetap menjadi hal menarik dalam ilmu sains.
Saintis Planet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Dr. Noah Petro berkata, bulan purnama merah jambu kelihatan lebih kecil daripada biasa kerana berada berhampiran titik paling jauh dari Bumi atau dikenali sebagai ‘apogee’ di garisan orbit.
Katanya, biarpun digelar sebagai bulan merah jambu, namun hakikatnya objek angkasa itu hanya kelihatan sedikit kekuningan atau jingga.
“Gelaran bulan merah jambu berasal daripada nama bunga liar Phlox subulata atau dikenali sebagai moss pink yang kebiasaannya kembang pada awal musim bunga di Amerika Utara. Disebabkan itu, ia digelar bulan merah jambu.
“Warnanya tetap seperti bulan purnama biasa iaitu kekuningan (bergantung keadaan atmosfera) dan jarang sekali terlihat berwarna merah jambu.
“Secara saintifik, orbit bulan mengelilingi Bumi tidak sempurna dan berbentuk elips (bulat bujur) atau berbentuk telur.
“Jadi, terdapat titik (bahagian) pada orbit sepanjang tahun yang mengakibatkan bulan menjadi dekat atau jauh dari Bumi,” katanya memetik laporan berita, CNN.
Tambahnya, memandangkan keadaan bulan pada waktu itu terlalu kecil atau digelarkan sebagai bulan mikro, maka penggunaan teropong khas seperti teleskop dengan lokasi pencahayaan minimum dapat membantu melihatnya dengan lebih jelas.
“Memandangkan bulan berada pada titik terjauh di orbit, jadi sukar untuk melihatnya seperti biasa terutamanya mereka yang tinggal di bandar kerana terdapat banyak bangunan pencakar langit bercahaya.
“Justeru, lokasi tanah lapang yang gelap atau kurang cahaya sangat membantu untuk melihat bulan merah jambu dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, menurut portal Stargazer, bulan merah jambu berlaku pada April setiap tahun iaitu bersesuaian dengan musim bunga.
Kejadian bulan merah jambu juga dianggap sebagai tanda semula jadi peralihan musim sejuk kepada musim bunga.
“Ketika alam sedang menjalani proses pembaharuan, banyak bunga sedang mekar kerana suhu persekitaran menjadi sedikit panas.

“Biarpun lebih terkait kepada budaya, namun bulan merah jambu tetap berada dalam senarai fenomena bulan kerana terkait dengan alam semesta dan bukan berdasarkan kisah dongeng,” kata pakar penyelidik angkasa, Eleanor Sebastian.
Selain fenomena bulan merah jambu, terdapat beberapa kejadian bulan yang sering mendapat perhatian kumpulan pencinta angkasa.
Menurut NASA Spaceplace, salah satu kejadian yang menarik adalah ‘bulan berdarah’ yang berlaku ketika gerhana bulan penuh.
Untuk makluman, gerhana bulan penuh berlaku apabila Bumi berada selari antara bulan dan matahari.
Apabila ia berlaku, satu-satunya cahaya yang sampai ke permukaan bulan adalah dari pinggir atmosfera Bumi iaitu molekul udara dalam atmosfera.
“Pantulan cahaya itu akan mengakibatkan berlaku perubahan warna disebabkan tindak balas molekul udara yang mengakibatkan wujudnya cahaya merah.
“Apabila Bumi menghalang cahaya matahari sampai ke bulan, pembentukan bayang Bumi (penumbra atau umbra) akan terkena pada permukaan bulan.
“Apabila bulan berada sepenuhnya dalam bayangan umbra, maka kejadian gerhana bulan penuh atau bulan berwarna merah berlaku.
“Istilah bulan berdarah atau blood moon juga digunakan untuk menggambarkan keadaan kemerahan disebabkan debu, asap atau jerebu di langit,” katanya.
Dalam pada itu, kejadian supermoon juga menjadi antara fenomena yang menarik untuk dilihat.
Fenomena itu berlaku apabila bulan kelihatan lebih besar dan terang berbanding biasa kerana berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi dikenali sebagai perigee.
Bulan mengorbit Bumi pada jalur elips, sekali gus mengakibatkan bulan kelihatan 30 peratus lebih terang dan 14 peratus lebih besar daripada biasa.
“Fenomena supermoon berlaku beberapa kali dalam setahun, tetapi tidak semua bulan purnama dipanggil supermoon.
“Kejadian supermoon hanya berlaku apabila bulan purnama berada tepat dengan titik perigee iaitu secara purata sekitar tiga atau empat kali setahun.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa kemungkinan juga yang boleh mengakibatkan saiz bulan supermoon kelihatan lebih besar atau lebih kecil,” lapor portal berkenaan.
Sementara itu, menurut ahli sains, Dr. Edward Henry, kejadian supermoon turut mempengaruhi alam semula jadi terutama paras air laut.
“Ketika bulan berada lebih dekat dengan Bumi (titik perigee), tarikan graviti bulan dapat meningkatkan kekuatan pasang surut air laut.
“Ini dikenali sebagai pasang surut perigee. Paras air laut akan menjadi lebih tinggi sehingga memberi kesan ketara pada kawasan persisiran pantai.
“Bagi kesan kepada atmosfera pula, supermoon yang sangat besar mungkin akan memberi kesan kepada cahaya langit, terutamanya di kawasan sangat gelap.
“Keadaan ini menyebabkan bintang atau objek lain di langit sukar dilihat. Namun, kesan ini biasanya tidak terlalu ketara di kawasan bandar yang penuh bercahaya,” katanya.
Satu lagi fenomena bulan yang disenaraikan oleh NASA Spaceplace ialah harvest moon atau bulan menuai.
Istilah bulan menuai itu merujuk kepada keadaan bulan penuh yang terang dan berlaku ketika menghampiri permulaan musim luruh.
Sebelum revolusi penciptaan dan perindustrian elektrik pada abad ke-19, warga petani bergantung kepada sumber cahaya bulan untuk menuai hasil tanaman mereka hingga larut malam.
Disebabkan itu, cahaya bulan menuai sangat penting bagi mereka agar dapat membantu mengutip hasil tuaian lebih banyak.
Menurut Henry, bulan menuai biasanya berlaku sekitar September atau Oktober dan cenderung untuk berada lebih lama di langit pada waktu malam.
“Satu ciri unit bulan menuai, ia terbit lebih cepat daripada bulan purnama biasa pada waktu malam.
“Waktu bulan menuai terbit adalah sekitar 20 hingga 25 minit lebih awal berbanding bulan purnama.
“Warna bulan menuai kelihatan lebih keemasan atau jingga terutama ketika berada dekat dengan horizon disebabkan oleh fenomena penyebaran cahaya atmosfera Bumi,” katanya.
Jelasnya lagi, fenomena bulan menuai berlaku disebabkan oleh kedudukan Bumi, bulan dan matahari.
“Lingkaran orbit elips membuatkan kedudukan jarak Bumi dan bulan sering berubah.
“Disebabkan itu, ketika bulan berada pada kedudukan tertentu dalam orbitnya, ia akan menyebabkan bulan terbit lebih cepat selepas matahari terbenam.
“Bulan menuai muncul lebih awal kerana berada pada kedudukan kecondongan orbit bulan terhadap garis horizontal Bumi.
“Kedudukan geometri bulan dengan Bumi dan matahari juga menyebabkan bulan terbit lebih cepat pada beberapa malam secara berturut-turut,” katanya.















