DUNGUN – Sekumpulan 96 peserta projek kelapa pandan tidak berpuas hati apabila kerja keras mereka mengusahakan kawasan itu sejak 19 tahun lalu sia-sia ekoran mendakwa status tanah ditarik oleh kerajaan negeri untuk dijadikan tapak perumahan.
Pengerusi Penyelaras Projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Abd. Wahid Kasim mendakwa, kawasan seluas 40 hektar itu tiba-tiba terpaksa diserahkan semula tanpa sebarang perbincangan awal dengan peserta.
Dakwanya, kawasan yang dahulunya paya bakau telah menjadi elok selepas mereka membanting tulang membersihkannya untuk ditanam kelapa pandan.
“Kecewa kami apabila kawasan tersebut sudah bersih dan hasil mula dikutip, tiba-tiba kerajaan negeri ingin ‘merampas’ tanah ini untuk diserahkan kepada pihak lain pula sebagai tapak rumah,” dakwanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Terdahulu mereka telah menghantar memorandum membantah pengambilalihan tanah projek kelapa pandan terbabit kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat.
Abd. Wahid mendakwa, setiap 96 peserta berjaya meraih pendapatan RM2,000 sebulan menerusi 0.4 hektar tanaman kelapa pandan yang diusahakan.
“Peserta turut meraih pendapatan menerusi produk hiliran berasaskan kelapa seperti nira dan anak benih,” katanya.
Seorang peserta, Ab. Ghani Tek, 69, merayu agar tanah itu tidak diambil semula.
“Banyak lagi tanah kosong untuk dijadikan tapak perumahan misalnya tapak rancangan Bandar Baharu Durian Mentangau seluas 750 hektar. Mengapa mahu ambil?,” katanya.














