BATU PAHAT – Seorang lelaki tempatan dilaporkan hilang selepas kelong yang disewa bersama tujuh lagi rakannya roboh ketika memancing dalam kejadian di Kelong Haji Harun, Parit Sungai Lurus, Senggarang di sini, awal pagi hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Kanan Bomba II Mohd Nazri Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 pagi.
Menurutnya, mangsa bersama tujuh lagi individu termasuk tiga lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 31 hingga 51 tahun berada di atas kelong tersebut untuk memancing ikan.
“Bagaimanapun keadaan laut bergelora akibat ribut dan hujan menyebabkan kelong roboh. Kesemua mangsa jatuh dan dihanyutkan namun tujuh daripada mereka terselamat selepas berpaut pada serpihan kayu yang terapung.
“Manakala mangsa yang berusia 40-an dilaporkan hilang dan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Nazri berkata, sejurus pasukan polis dan bomba tiba di Jeti Sungai Lurus namun operasi menyelamatkan mangsa tidak dapat dilakukan kerana cuaca buruk.
“APMM berjaya menyelamatkan kesemua tujuh mangsa yang terapung kira-kira pukul 4.47 pagi dan dibawa ke jeti namun seorang mangsa tidak ditemui.
“Operasi mencari mangsa yang hilang diteruskan pada pukul 7 pagi hari ini namun sehingga kini mangsa belum dijumpai,”katanya.-KOSMO! ONLINE