TANJUNG MALIM – Seorang lelaki berumur 27 tahun maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux, lori muatan sampah dan Hyundai Starex berhampiran sebuah stesen minyak di Trolak di sini pada pukul 5.19 petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang memandu Toyota Hilux tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum melanggar lori sampah dan Hyundai Starex itu.
“Mangsa mengalami kecederaan parah kerana tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, pemandu lori dan Hyundai Starex tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE