ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menjalankan siasatan ke atas seorang pendakwah terkenal berhubung penularan video solat Jumaat ulama bersama bunian, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Abd. Ghani Zainudin berkata, pihaknya akan memanggil pendakwah tersebut bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Kita maklum tentang penularan video itu dan dakwaan pendakwah berkenaan solat Jumaat bersama bunian yang didakwa dilakukan seorang agamawan ketika hayatnya.
“JHEAIK akan mengkaji video tersebut dan akan memanggil pendakwah terbabit bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menegaskan, JHEAIK turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Mufti Kedah bagi melaksanakan tindakan sewajarnya dalam menangani isu berkenaan.
“Kita menasihatkan semua pendakwah supaya berhati-hati dan jangan mengeluarkan kenyataan mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak taasub dan mendapatkan kesahihah daripada pihak bertauliah berhubung sesuatu isu.
“Kita juga berharap semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkaitan menyiasat isu ini termasuk mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran ramai di media sosial,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis berserta kapsyen ‘Kisah Paksu Mid Solat Jumaat Bersama Bunian di Tengah Laut’. – KOSMO! ONLINE