SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi proses baik pulih rumah yang terjejas insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses baik pulih tersebut akan bermula seawal minggu ini bagi mempercepatkan fasa pemulihan kepada para penduduk yang terlibat.
Katanya, baik pulih itu akan membabitkan tiga kategori iaitu pertama melibatkan kerosakan kecil yang dianggarkan bawah RM30, 000.
“Caranya adalah penduduk membaikinya sebelum membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya ketika berucap pada penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden tersebut hari ini.
Menurut beliau, bagi kerosakan lain pula juga akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.
Ujarnya, ini meliputi daripada Sime Darby ekoran merupakan pemaju bagi lokaliti tersebut dengan kerja-kerja baik pulih dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan.
“Untuk Kampung Sungai Baharu, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung.
“Proses baik pulih ini akan menyiapkan kemudahan asas. Makna sebuah rumah akan akan kelengkapan pendawaian dan boleh didiami kembali,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE