PUTRAJAYA- Lawatan delegasi Malaysia ke Washington DC, Amerika Syarikat diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru-baru ini membuahkan pandangan positif.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Tengku Zafrul memberi laporan hasil lawatan itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
“Tengku Zafrul memberi laporan mengenai langkah seterusnya yang mana beberapa perkara dan sektor yang akan menjadi keutamaan dalam perbincangan (Tarif Trump).
“Jadi, kita serahkan kepada mereka untuk bincang sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Menurut beliau, pada sidang khas Parlimen Isnin ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi kenyataan berhubung dasar dan pendirian kerajaan serta langkah-langkah yang akan diambil kerajaan berhubung tarif tersebut.
Sidang khas Parlimen pada pukul 11 pagi, 5 Mei ini akan memberi peluang kepada blok kerajaan dan pembangkang berkongsi pandangan mengenai tarif dikenakan Amerika Syarikat. Sesi khas itu akan digulung oleh Tengku Zafrul dan Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE