fbpx

Orang ramai teruja barangan dijual pada harga murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur membeli keperluan dapur dan barangan basah pada harga murah yang boleh menjimatkan perbelanjaan mereka.

KULIM – Rata-rata pengunjung Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani 2025 teruja apabila dapat membeli barangan asas pada harga murah terutama beras putih tempatan (BPT) yang dijual pada harga RM18 bagi pek 10 kilogram (kg).

Pemandu lori, Md. Desa Halim, 54, berkata, dia tidak melepaskan peluang beratur untuk membeli BPT tersebut kerana di pasaran ia dijual pada harga RM26.

“Memang berbaloi datang ke sini sebab semua barang dijual pada harga murah. Bawa RM50 pun boleh beli banyak barang dan hari ini saya beli beras, ayam dan telur,” katanya ketika ditemui pada program jualan tersebut di Dewan Pusat Kegiatan Ekonomi Kampung Guar Lobak di Padang Serai, di sini semalam.

Md. Desa berharap agar jualan seumpama itu dapat diadakan lagi di kawasan tersebut kerana ia dapat meringankan perbelanjaan penduduk di situ.

Suri rumah, Norain Baharin, 35, berkata, dia datang seawal pukul 8 pagi untuk menunggu sesi jualan tersebut yang bermula pada pukul 9 pagi.

“Seronok tengok harga barang murah, jadi saya ambil kesempatan beli beras.

“Telur pun murah iaitu gred A RM9 sepapan, gred B RM8 sepapan dan gred C RM7 sepapan.

“Daging lembu segar juga dijual pada harga murah iaitu RM26 sekilogram.

“Memang ramai yang beratur untuk membeli kerana di luar sana dijual lebih RM30 sekilogram,” ujarnya.

Seorang lagi suri rumah, Fatimah Khamis, 57, berkata, dia dapat berjimat dengan membeli barangan asas yang dijual pada harga murah di situ.

“Banyak barang boleh beli, saya kira RM100 pun tak habis. Daging tempatan memang murah, RM26 sahaja sekilogram dan beras pula RM18 bagi pek 10kg, nak jumpa harga itu memang susah,” jelas Fatimah lagi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI