GEORGE TOWN – Kerajaan-kerajaan negeri disarankan agar menggubal undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024 yang berkuat kuasa hari ini, bagi memperluaskan usaha perkongsian data di seluruh negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akta tersebut yang diluluskan di Parlimen pada Disember lalu merupakan perundangan penting yang membolehkan perkongsian data di antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi di peringkat pusat.
“Ini adalah satu pencapaian besar kerana buat pertama kali kita mempunyai mekanisme undang-undang untuk membolehkan data dikongsi di antara jabatan-jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Jadi kita berharap di peringkat kerajaan-kerajaan negeri juga akan menggubal akta yang sama bagi membolehkan perkongsian data turut dapat dilaksanakan antara agensi serta jabatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Komtar, di sini hari ini.
Menurut Gobind, akta tersebut buat masa ini hanya terpakai di peringkat kementerian dan agensi Persekutuan sahaja dan belum melibatkan kerajaan negeri atau PBT.
Katanya, sekiranya semua agensi dan jabatan di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mempunyai mekanisme seragam untuk berkongsi data, ia akan membentuk satu ekosistem data nasional yang kukuh.
Tambahnya, menerusi akta ini, permintaan untuk data boleh dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan dipertimbangkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital. -KOSMO! ONLINE