PENDANG – Suasana meriah bagi persiapan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri daerah Pendang di dataran Tasik Pendang, di sini bertukar cemas selepas kira-kira tujuh khemah vendor di situ terbalik akibat ribut dan hujan lebat dalam kejadian malam tadi.
Wakil vendor 1 Minute Miracle, Siti Nurhanim Mohd Norizan, 25, berkata, kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 7.45 malam ketika kebanyakan vendor sedang sibuk membuat persediaan akhir sebelum majlis bermula pada pukul 8 malam.
“Semasa kejadian saya sedang membuat siaran langsung di media sosial manakala rakan-rakan lain sedang sibuk membancuh air balang untuk tetamu majlis tersebut.
“Ketika itu cuaca agak mendung sebelum tiba-tiba berlaku ribut dan angin kuat mengangkat khemah kami dan beberapa khemah vendor lain,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 7.45 malam itu menyebabkan tujuh khemah vendor terbalik dan mengalami kerosakan.
“Selain itu, terdapat sebuah kereta milik Pegawai Veterinar Daerah Pendang turut mengalami kerosakan teruk akibat dihempap khemah. Walau bagaimanapun semua orang yang berada di lokasi kejadian dilaporkan selamat dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE