fbpx

MAC, MAF lancar platform digital untuk komuniti AIDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaiton (empat kanan) melancarkan platform 'ProtectNow' pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Aids Malaysia bersama komuniti pesakit HIV di Restoran Saprah, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) melancarkan ProtectNow Hub, sebuah platform digital pertama di Malaysia untuk pencegahan HIV.

Setiausaha Kehormat MAC dan MAF, Dr. Zaiton Yahaya berkata, platform inovatif itu menawarkan akses komprehensif kepada pelbagai perkhidmatan pencegahan dan sokongan HIV, termasuk PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan), ujian kendiri HIV, sokongan kesihatan mental dan perkhidmatan berkaitan ketagihan.

“Kita berdepan perubahan besar dalam jangkitan HIV dengan peningkatan kes baharu dalam kalangan golongan muda dan komuniti sasaran.

“ProtectNow adalah pendekatan baharu berpaksikan masa depan yang berorientasikan belia, diterajui komuniti dan dipacu inovasi digital,” katanya sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Komuniti yang dihadiri lebih daripada 200 orang tetamu, hari ini.

Katanya, sejak diperkenalkan, platform itu menerima lebih daripada 74,000 kunjungan yang menunjukkan permintaan tinggi untuk perkhidmatan kesihatan mudah diakses, selamat dan berorientasikan komuniti.

Ujarnya, ProtectNow Hub dibangunkan dengan semangat keterangkuman, mengambil kira bahawa anggota komuniti berisiko tinggi sering berdepan dengan pelbagai stigma yang menghalang akses kepada pencegahan dan rawatan HIV.

Kata Zaiton, platform ini bertujuan untuk memberdayakan individu agar dapat membuat keputusan tepat mengenai kesihatan diri dan bebas daripada stigma serta maklumat salah.

“Pelancaran ProtectNow selari dengan komitmen Malaysia untuk menamatkan AIDS menjelang tahun 2030, sejajar dengan Pelan Strategik Kebangsaan dan sasaran global UNAIDS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI