Beberapa hari kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan aktiviti tidak bermoral yang berlaku dalam sebuah kem ketenteraan.
Sebelum itu, isu spa lelaki yang dikaitkan dengan aktiviti songsang di ibu negara turut mencetuskan kebimbangan awam.
Walaupun kedua-dua kes ini berlaku dalam konteks dan lokasi berbeza, terdapat satu persamaan yang wajar diberi perhatian serius iaitu peranan aplikasi media sosial yang merangkumi pelbagai bentuk seperti perkhidmatan rangkaian sosial.
Antara perkhidmatan rangkaian sosial ini termasulah Facebook, Instagram dan X, perkhidmatan pesanan segera seperti WhatsApp dan Telegram, aplikasi padanan atau carian jodoh (Tinder,
Bumble dan Omi) hinggalah ke platform perkongsian kandungan video dan foto (TikTok, YouTube dan Pinterest).
Kesemua aplikasi media sosial ini menjadi medium utama yang menghubungkan individu serta menormalisasikan tingkah laku berisiko dan tidak bermoral secara senyap.
Aplikasi media sosial pada asalnya dibangunkan dengan objektif positif bagi memudahkan komunikasi, perkongsian maklumat dan membina hubungan sosial dengan lebih efektif.
Namun, seiring perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan, platform-platform ini kini tidak lagi berfungsi sekadar sebagai medium interaksi terbuka.
Ia telah berevolusi menjadi ruang sosial alternatif yang membolehkan individu mengenal pasti, menilai dan memilih antara satu sama lain berdasarkan imej diri, gaya berpakaian dan aktiviti harian yang dikongsi secara terbuka.
Evolusi medium digital
Dalam konteks ini, akaun media sosial di platform seperti Instagram dan TikTok secara tidak langsung berfungsi sebagai ‘kolam bakat’, di mana individu dikenal pasti dan didekati tanpa perlu interaksi awal yang formal atau pendedahan identiti sebenar.
Akibatnya, sempadan antara baik dan buruk semakin kabur, manakala kawalan sosial yang lazimnya wujud dalam interaksi fizikal beransur-ansur terhakis.
Kebanyakan aplikasi media sosial hari ini dilengkapi dengan fungsi pengesanan lokasi, sama ada secara langsung atau melalui perkongsian kandungan berasaskan tempat.
Ciri seperti paparan pengguna berdekatan, tanda lokasi atau kandungan setempat memudahkan individu mengenal pasti kehadiran antara satu sama lain dalam ruang fizikal yang sama.
Dalam konteks aplikasi carian jodoh, ia menonjolkan fungsi berasaskan lokasi sebagai salah satu ciri utama yang memudahkan interaksi, padanan dan pertemuan fizikal. Dalam persekitaran tertutup seperti asrama, kem atau kawasan kerja tertentu, interaksi sedemikian boleh berlaku dengan pantas dan berulang tanpa perlu melalui jaringan sosial konvensional.
Keadaan ini menjadikan tingkah laku berisiko bukan sahaja lebih mudah berlaku, malah berpotensi berkembang secara berkelompok dan tersusun.
Dalam kebanyakan kes, proses ini tidak berlaku secara mendadak sebaliknya bermula secara berperingkat melalui platform rangkaian sosial yang bersifat terbuka seperti Instagram dan TikTok.
Individu dikenal pasti melalui kandungan visual, gaya hidup atau aktiviti yang dikongsi, sebelum interaksi awal berlaku dalam bentuk komen atau mesej peribadi dalam aplikasi yang sama.
Apabila kepercayaan mula terbina, komunikasi lazimnya beralih ke platform pesanan segera seperti WhatsApp yang menawarkan interaksi lebih pantas, bersifat peribadi dan kurang pemantauan.
Pada peringkat seterusnya, rangkaian ini boleh berkembang apabila kenalan baharu diperkenalkan dan dikumpulkan da lam kumpulan WhatsApp tertutup, sekali gus membentuk ruang komunikasi eksklusif yang sukar dikesan serta semakin menghakis kawalan sosial.
Normalisasi dalam ruang digital ini tidak terhenti pada pembentukan persepsi semata-mata. Apabila tingkah laku yang sama terus diperkukuh melalui algoritma dan interaksi berulang, ia secara beransur-ansur diterjemahkan ke dalam tindakan di dunia nyata.
Pengguna sering berada dalam apa yang dikenali sebagai ‘echo chamber’, iaitu ruang digital yang hanya memaparkan pandangan, nilai dan gaya hidup yang selari dengan minat mereka.
Apabila sesuatu tingkah laku dipaparkan secara berulang tanpa memikirkan konteks risiko atau implikasi jangka panjang, ia mula dilihat sebagai perkara biasa. Sempadan antara salah dan betul menjadi relatif, manakala nilai moral dilihat sebagai pilihan peribadi semata-mata.
Faktor psikologi juga tidak boleh diketepikan. Kehidupan moden, khususnya di kawasan bandar dan dalam organisasi bertekanan tinggi, sering dikaitkan dengan kesunyian, tekanan emosi dan keperluan kepada pengesahan diri daripada sekumpulan individu yang mempunyai pandangan yang sama.
Golongan ini merasakan aplikasi media sosial mampu memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan perhatian, pandangan yang sama dan rasa diterima yang sukar diperoleh dalam interaksi harian.
Namun, aktiviti yang bermula di ruang digital boleh membawa kepada risiko fizikal, emosi dan sosial, termasuk penularan penyakit, eksploitasi, pemerasan serta keruntuhan kepercayaan awam terhadap institusi penting dalam negara.
Apabila kes-kes sebegini terbongkar, tindakan sering bersifat reaktif seperti serbuan, siasatan dan hukuman tanpa meneliti secara terperinci punca sebenar yang membolehkan aktiviti tersebut berakar umbi.
Hakikatnya, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Kemajuan teknologi bergerak lebih pantas daripada keupayaan kawal selia. Banyak platform beroperasi merentasi sempadan negara, manakala mekanisme pemantauan masih terhad.
Peranan organisasi
Dalam keadaan ini, pendekatan pencegahan melalui pendidikan dan dasar dalaman adalah kritikal. Literasi digital perlu ditakrifkan semula. Ia tidak seharusnya terhad kepada keupayaan menggunakan teknologi, tetapi merangkumi kefahaman tentang etika, risiko dan tanggungjawab sosial dalam ruang digital.
Pendidikan sebegini perlu diterapkan secara berterusan segenap lapisan masyarakat agar keputusan yang dibuat tidak bersandarkan emosi dan dorongan sementara.
Organisasi pula perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan garis panduan jelas berkaitan penggunaan aplikasi sosial, sokongan kesihatan mental, serta saluran kaunseling bagi melindungi kesejahteraan individu dan reputasi institusi.
Isu ini perlu dibincangkan dengan lebih matang dan berfakta. Stigma masyarakat yang berlebihan hanya akan mendorong individu menyorokkan masalah dan mengalihkannya lebih jauh ke ruang tertutup.
Dialog berasaskan pendidikan, empati dan pencegahan mampu membina kesedaran kolektif tentang risiko sebenar di sebalik kebebasan digital. Kes-kes yang berlaku sama ada di spa mahupun di kem, bukanlah titik permulaan masalah.
Ia hanyalah manifestasi kepada realiti baharu di mana aplikasi digital menjadi penggalak kepada tingkah laku berisiko dan tidak bermoral yang mengatasi kawalan sosial konventional.
Teknologi pada asasnya bersifat neutral. Namun, tanpa kesedaran, nilai dan tanggungjawab bersama, ruang digital boleh menjadi lorong gelap yang membentuk tingkah laku tidak bermoral dan menggelapkan masa depan masyarakat tanpa kita sedari.
Ts. Dr. Nurhidayah Bahar Pensyarah Universiti Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia














