PETALING JAYA – Kemunculan planet Zuhrah, Zuhal dan bulan sabit mencuri tumpuan ramai apabila susunannya kelihatan jelas menghiasi ruang angkasa pada waktu subuh pagi tadi.
Menerusi satu perkongsian di Facebook oleh Hadi Rasdi, dia memuat naik beberapa keping gambar yang dirakam sekitar pukul 6.09 pagi, kelihatan bulan sabit bersinar terang lengkap dengan fenomena ‘earthshine’, iaitu pantulan cahaya Bumi pada bahagian gelap bulan.
Planet Zuhrah pula kelihatan jelas di sebelah kiri atas bulan dengan sinarnya yang terang, manakala Zuhal berada lebih ke bawah kanan bulan, kelihatan sedikit redup namun masih boleh dikenal pasti.
“Langit sangat cantik pagi tadi. Susunan objek langit begitu jelas kerana cuaca yang baik dan tiada awan tebal.
“Sekitar pukul 6.18 pagi, cahaya mula masuk dan latar langit bertukar menjadi kabut jingga,” tulis pemilik akaun tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi keterujaan mereka menyaksikan fenomena jarang berlaku itu.
“Memang cantik. Bersinar bulannya. Saya ambil gambar lepas azan,” kata Ida Ramli.
“Sekitar 6.30 pagi tadi terang bersinar cantik terpancar ‘smile moon’,” ujar Linda Hussin. – KOSMO! ONLINE