PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli kini hanya selangkah lagi untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kategori Moto3 tahun depan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, tempat untuk Hakim Danish ke Moto3 bukan ‘tiket percuma’, sebaliknya pelumba kelahiran Terengganu itu perlu membuktikan prestasi di atas litar.
Tegas Azhan Shafriman, ketika ini tempat Hakim Danish bersama pasukan MT Helmets telahpun disediakan, namun segalanya bergantung kepada pencapaian pelumba berusia 17 tahun itu terutama pada perlumbaan Kejohanan Dunia JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup.
“Tempat itu memang ada, tetapi ia bukan diberi semata-mata. Hakim Danish kena buktikan dia layak. Kita dah letakkan petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu dan dia kena capai sasaran podium serta kedudukan lima teratas, khususnya dalam JuniorGP.
“Kita juga sasar dia perlu tembus tiga terbaik, tetapi kalau dia boleh jadi juara Red Bull Rookies Cup, mungkin akan jadi pelumba Malaysia pertama yang berjaya capai tahap itu, Insya-Allah,” kata Shafriman ketika ditemui semasa memeterai kerjasama strategik bersama Aeon Credit di Menara TRX, Kuala Lumpur semalam.
Walaupun perancangan rapi telah dibuat oleh Litar Antarabangsa Sepang, aspek kewangan dan penajaan tetap menjadi cabaran pihaknya untuk meletakkan lebih ramai pelumba Malaysia ke pentas antarabangsa.
Menurut Shafriman, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menyokong usaha mereka mengetengahkan bakat muda terutama ke MotoGP.
“Setakat ini belum ada bajet tetap untuk tempat Hakim Danish di Moto3. Tapi kita akan terus berusaha, sama ada melalui tajaan atau dana sedia ada untuk memastikan dia dapat peluang itu,” jelasnya.