PETALING JAYA – Pegawai penyiasat kanan yang mengendalikan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan siasatan terhadap ibu bapa kanak-kanak autistik itu adalah bertujuan untuk mengenakan mereka.
Semasa disoal balas pihak pembelaan, Asisten Superitendan (ASP) Mohd. Hafizee Ismail, 38, tidak bersetuju apabila siasatan kes dikatakan sambil lewa terhadap tertuduh, Ismanira Abdul Manaf dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.
Peguam: Saya cadangkan kepada ASP sekali lagi, penyiasatan ASP terhadap kes ini sambil lewa dan hanya menumpukan perhatian untuk mengenakan kedua-dua tertuduh?
Saksi: Tidak setuju
Peguam: Saya cadangkan bukan sahaja saksi-saksi diminta untuk mengaitkan dan mengenakan tertuduh. Anda juga memainkan satu peranan di mahkamah untuk memesongkan fakta semata-mata untuk mendapatkan sabitan?
Saksi: Tak betul
Dalam prosiding sama, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa siasatan ke atas kes adalah lemah dan tidak lengkap.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikan dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE