fbpx

Dua lokasi ceroboh laluan paip gas di Pendang, keluarkan tanah merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mansor

ALOR SETAR – Kerajaan negeri memaklumkan berlaku pencerobohan kawasan laluan paip gas milik Petronas dekat Kampung Sungai Jagung dan Kampung Padang Pusing di Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Pendang baru-baru ini.

“Semasa di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tadi, saya ada bangkitkan satu situasi di Pendang berlaku pencerobohan oleh orang kampung mengambil tanah merah atas jajaran paip gas.

“Kawasan yang diceroboh melibatkan kawasan lapang iaitu tanah kosong tanpa pokok serta dekat dengan rizab jalan.

“Ada beberapa rumah yang dibina di kawasan rizab jalan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan DUN di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut beliau, segelintir individu didakwa menceroboh kawasan tersebut bagi mengambil dan mengeluarkan tanah merah untuk membuat rumah dan sebagainya.

“Kawasan diceroboh tidak terlalu luas tetapi kita bimbang bila mereka terus korek tanah walaupun paip gas terletak lebih 6.4 meter dalam tanah. Ada kemungkinan kejadian itu sudah berlaku dua hingga tahun lalu.

“Kita sudah meminta Petronas menutup kawasan itu supaya tiada lagi pencerobohan berlaku sebab ini bidang kuasa Petronas. Kita tidak mahu berlaku insiden seperti di Putra Heights,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah meminta Utiliti Infra Darul Aman (UIDA) bekerjasama dengan Petronas untuk melakukan pemetaan semula dengan memasukkan kesemua jajaran paip gas Petronas dalam peta.

“Selepas ini jika ada pembangunan ke hadapan atau berkaitan kebenaran merancang, kita boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa kawasan itu mempunyai paip gas supaya tidak ada sebarang pembangunan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, pada sidang DUN, Mansor berkata, Petronas mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang telah menceroboh laluan tersebut.

Beliau berkata, perbincangan dengan semua pihak termasuk UIDA untuk membuat pemetaan semula laluan paip gas seluruh Kedah penting supaya tidak berlaku pertindihan dengan pembangunan masa depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI