REMBAU – Bergelar sebagai graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedikitpun tidak membataskan niat seorang anak untuk bekerja di Pasar Awam Kota di sini bagi membantu keluarganya berniaga ayam segar.
Nurliyana Ramlee, 29, yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains Sosial bidang linguistik berkata, dia kini memikul tanggungjawab meneruskan jualan ayam segar serta ayam telur bersama ibu bapanya di pasar tersebut.
Menurut beliau, ayahnya, Ramlee Perjo, 61, pernah terlibat kemalangan dua tahun lalu sehingga menyebabkan tangan terpaksa dimasukkan besi, manakalanya ibunya, Rohana Mohd Isa, 55, pula mengalami masalah sakit belakang sejak lebih 20 tahun.
“Sebagai anak sulung daripada dua beradik, bila ayah dan ibu mahu meneruskan jualan ayam ini bagi mencari rezeki buat kami sekeluarga, saya terpaksa berhenti kerja sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah yarikat swasta.
“Bagi saya, ibu dan ayah itu lebih utama serta saya selalu berfikir Allah memberikan rezeki kepada orang yang berusaha,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Kota, di sini semalam.
Nurliyana berkata, ayahnya sebelum ini bekerja selama 16 tahun di sebuah kilang di ibu negara, namun, disebabkan ibu mereka mengalami patah tulang belakang, ayahnya berhenti kerja dan pulang ke kampung.
Menurutnya, pada masa tersebut, dia dan adiknya yang kini belajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) masih kecil serta perlu diuruskan ke sekolah.
“Ayah pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan serta menjual ayam golek. Kini, kami jual ayam segar untuk mencari rezeki,” katanya.
Menurutnya, jualan ayam yang memberangsangkan itu menjadikan dia lebih bersemangat serta mengetepikan kata-kata sinis yang menganggap orang belajar tinggi selayaknya bekerja di tempat hebat dan bukannya di pasar awam.
“Paling penting, suami juga menyokong usaha saya ini dan akan membantu sekiranya berkelapangan,” katanya.














