GEORGE TOWN – Seorang penyelenggara penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meragut wanita warga Indonesia pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, A.Thines, 25, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu yang menunggang motosikal didakwa mencuri beg Longchamp berwarna biru gelap mengandungi wang tunai RM1,000, telefon bimbit Iphone 7, pasport dan kad kredit milik Novita Badjo.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 4.30 petang di tepi jalan Jalan Kuala Kangsa di sini pada 17 April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang tidak boleh dijamin, malah tertuduh turut berdepan satu lagi kes curi yang sedang dibicarakan di Mahkmah Balik Pulau.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diperintah untuk melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Mei ini. – KOSMO! ONLINE