HAMBURG – Harapan Bayer Leverkusen untuk mempertahankan kejuaraan Bundesliga dimenangi musim lalu tidak kesampaian apabila tercicir dua mata berharga selepas seri 1-1 dengan St. Pauli awal pagi semalam.
Keputusan di Stadium Millerntor itu menyaksikan Leverkusen yang kini di tangga kedua, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich dalam saingan berbaki empat perlawanan sahaja lagi.
Meskipun secara matematiknya masih berpeluang tetapi keputusan seri itu seakan-akan sudah menutup peluang Leverkusen untuk menjuarai Bundesliga buat musim kedua berturut-turut.
Pengendalinya, Xabi Alonso masih mahu anak-anak buahnya memberikan persembahan terbaik dalam setiap baki perlawanan mereka musim ini selagi Bayern secara rasminya tidak ditabalkan sebagai juara.
“Banyak keputusan tidak memihak kami musim ini yang menyebabkan Bayern memiliki kelebihan besar. Saingan masih belum berakhir tetapi kami perlu terima hakikat berada dalam situasi ketika ini.
“Kami mahu berikan aksi lebih baik tetapi malangnya apa yang ditunjukkan dalam perlawanan ini masih belum mencukupi,” kata Alonso.
Leverkusen terlebih dahulu meledak gol menerusi Patrik Schick dalam babak pertama sebelum Carlo Boukhalfa mengikat kedudukan buat St. Pauli pada minit ke-78.
Sebagai rekod, Bayern akan ditabalkan sebagai juara liga baharu jika menang ke atas Mainz dan pada masa sama Leverkusen gagal menewaskan Augsburg hujung minggu ini. – AGENSI