fbpx

Banjir Sri Muda: Sistem pam pulih, berfungsi sejak minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir kilat di Taman Sri Muda pada 11 April lalu. - Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Sistem pam kawalan banjir di Taman Sri Muda di sini, kembali pulih dan berfungsi sejak minggu lalu sekali gus mengelak banjir teruk selepas bah melanda kawasan itu pada 11 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masalah rumah pam itu berlaku sebelum ini kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat menyalurkan bekalan elektrik atas faktor tertentu.

“Alhamdulilah, pam berkenaan kini sudah berfungsi semula. Tidak berlaku banjir (terbaru) di Taman Sri Muda walaupun hujan lebat selama dua jam (minimum) di kawasan berkenaan Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk Taman Sri Muda berhimpun dan menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut sejak banjir besar pada tahun 2021.

Amirudin berkata, pihaknya turut memfokuskan isu lain bagi menangani isu banjir seperti fungsi kunci air serta perparitan dan mesyuarat koordinasi khas semalam turut membincangkan isu berkenaan untuk dibentangkan sebelum dilaporkan kepada penduduk terlibat.

“Isu di Selangor hanya melibatkan banjir kilat walaupun kesannya masih buruk berbanding negeri lain yang banjirnya termenung selama berhari-hari. Saya faham mungkin trauma mereka (penduduk) tinggi dan kita pernah berdepan dengan pelbagai isu termasuk banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI