MELALUI kemahiran melukis yang ada pada dirinya, Muhamad Firdaus Nordin memilih untuk menjadi pelukis mural secara sepenuh masa sejak tahun 2017.
Lelaki berusia 31 tahun itu sendiri tidak menyangka bahawa melukis mural menjadi sumber rezeki utamanya ketika ini.
“Sejak kecil, saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menjadi pelukis.
“Namun, takdir telah menentukan bahawa saya menyambung pengajian dalam bidang seni halus yang juga merupakan salah satu jurusan dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Ketika mendalami bidang seni halus, saya mula menyimpan hasrat untuk menjadi artis seni.
“Ketika di semester akhir, saya lihat ada beberapa pelajar senior menjadi pelukis mural selepas tamat pengajian.
“Ini membuatkan saya berminat untuk menjadi seorang pelukis mural,” katanya yang mendalami bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Setelah tamat pengajian, lelaki yang selesa disapa Firdaus itu memohon kerja sebagai pelukis mural di sebuah syarikat. Rezeki ternyata berpihak padanya apabila diterima bekerja di syarikat tersebut.
Firdaus bekerja dengan syarikat tersebut selama dua tahun setengah untuk mencari pengalaman, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan bergerak sendiri.

Kini, Firdaus sudah lapan tahun mencari rezeki sebagai pelukis mural dan dia gembira dengan kerja dilakukannya itu.
Bagaimanapun, ada ketikanya, dia menerima kata-kata sinis daripada sesetengah orang kerana memilih kerjaya sebagai pelukis mural.
Katanya, mereka berpandangan bahawa kerjaya itu tidak boleh menjamin masa depan.
“Ada yang kata, sampai bila saya ingin bekerja begini dan mereka juga mempersoalkan pendapatan saya pada setiap bulan.
“Bukan itu sahaja, malah ada yang menghantar iklan-iklan jawatan kosong kepada saya. Mereka tidak yakin dengan kerjaya saya sebagai pelukis mural,” jelasnya.
Menurutnya, permintaan untuk melukis mural pada ketika ini sangat baik dan banyak pihak mahu menghasilkan seni tersebut di premis mereka.
“Malah kini, semakin ramai artis seni memilih untuk melukis mural terutamanya mereka yang baru menamatkan pengajian.

“Dahulu, mungkin orang tidak nampak peluang dan masa depan dalam seni mural ini, namun kini ia boleh dijadikan sebagai satu kerjaya,” ujar pemuda berasal dari Arau, Perlis.
Ketika ini, Firdaus mendapat tiga hingga lima tempahan melukis mural daripada pelanggan pada setiap bulan.
Harga yang dikenakan olehnya untuk setiap lukisan mural adalah mengikut keluasan dinding dan design dipilih oleh pelanggan.
Malah, rezeki diterimanya ketika ini adalah lebih tinggi daripada golongan eksekutif yang bekerja makan gaji.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang perancangan masa hadapan, Firdaus menjelaskan, dia merancang untuk mengkomersialkan dirinya sebagai salah seorang pelukis mural berbakat.
“Selepas lapan tahun menjadi pelukis mural, saya yakin masih ramai belum mengenali saya.
“Perancangan saya pada masa akan datang adalah untuk mengkomersialkan diri supaya lebih ramai orang kenal saya sebagai pelukis mural,” ujarnya.
















