KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan terhadap dua lagi anggotanya yang dipercayai membuat hantaran komen jelik terhadap individu di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, siasatan dijalankan selepas menerima beberapa aduan berkaitan kandungan berkait hantaran tersebut.
Menurutnya, komen bersifat jelik itu tidak hanya tertumpu kepada sensitiviti berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) atau politik sahaja, tetapi ia merangkumi semua aspek yang tertakluk kepada perintah tetap yang dikeluarkan berhubung media sosial.
“Kita telah menerima aduan terhadap dua anggota JBPM yang membuat hantaran komen jelik dan perkara tersebut masih lagi dalam siasatan.
“Komen jelik itu lebih kepada bersifat peribadi selain berhubung tingkah laku. Kita akan menubuhlan pasukan siasatan sebelum tindakan tindakan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Kelantan di Balai Bomba Tunjong di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 18 anggota telah menerima surat peringatan manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan kerana melanggar etika penggunaan media sosial dalam tempoh dua tahun lalu.
Nor Hisham berkata, justeru, anggota JBPM diingatkan agar berhati-hati ketika menggunakan media sosial, khususnya dalam mengulas isu-isu sensitif yang tidak selaras dengan etika penjawat awam.- KOSMO! ONLINE