FUNAFUTI, Tuvalu – Negara kepulauan Pasifik, Tuvalu melancarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pertamanya pada 15 April lalu, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Pengurus Besar Bank Pusat Tuvalu, Siose Teo berkata, mesin ATM itu adalah pencapaian hebat dan berfungsi sebagai transformasi yang membuka peluang pemerkasaan ekonomi rakyat.
“Mesin ATM ini memperkenalkan rakyat kepada perkhidmatan perbankan moden dan boleh dipercayai,” kata Nisar Ali daripada syarikat Pacific Technology Limited yang mereka bentuk mesin itu.
Sehingga kini, semua perkhidmatan perbankan di Tuvalu dilakukan secara tunai.
Pada hari gaji, pekerja dikehendaki beratur di bank untuk mengeluarkan gaji mereka, satu proses yang sering menyebabkan barisan panjang dan akses terhad selepas bank ditutup pada pukul 2 petang.
Tuvalu yang terletak di antara Australia dan negeri Hawaii di Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 11,200 penduduk.
Ia adalah salah sebuah negara kepulauan terkecil di dunia. Sembilan pulau kecilnya hanya meliputi kawasan seluas 26 kilometer persegi secara keseluruhan. – AGENSI