BERLIN – Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan tidak berminat dengan peluang menggantikan Carlo Ancelotti sebagai ketua jurulatih Real Madrid musim depan.
Buat masa ini, Klopp dilaporkan ‘sangat gembira’ dengan jawatannya sekarang sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull dengan menjaga beberapa kelab termasuk RB Leipzig di Jerman, New York Bulls (Amerika Syarikat) dan Bragantino (Brazil).
Kegagalan Real tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (EPL) di tangan Arsenal minggu ini secara tidak langsung mencetus spekulasi berhubung masa depan Ancelotti yang mungkin tidak dilanjutkan kontrak hujung musim ini.
Ketika ditanya berkenaan khabar angin terbabit, ejen Klopp, Marc Kosicke berkata bekas pengendali Borussia Dortmund gembira dengan tugasannya sekarang.
“Jurgen (Klopp) sangat gembira dengan peranan baharunya bersama Red Bull,” kata Kosicke.
Sementara itu, pengendali Leipzig, Zsolt Low tidak dapat membayangkan jika Klopp berhijrah ke Real kerana pengendali berusia 57 tahun tersebut tampak sangat gembira dan langsung tidak tertekan dengan peranannya ketika ini.
“Beliau memberikan nilai tinggi dengan pengalamannya, kualiti serta tenaganya,” kata Low.
Sepanjang 23 tahun menjadi pengendali Liverpool, Dortmund dan Mainz, Klopp meninggalkan setiap kelabnya itu dengan kejayaan tersendiri.
Kenyataan ejen Klopp menjadikan pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso yang juga bekas pemain tengah Real menjadi calon utama untuk menggantikan Ancelotti. – AGENSI