SHAH ALAM – Agensi berdaftar yang didapati terlibat dalam penipuan tawaran pakej haji dan umrah akan dikenakan tindakan pembatalan lesen secara serta-merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa ejen berlesen namun menyalahgunakan kepercayaan jemaah.
“Lesen ejen terlibat telah dibatalkan dan tindakan lanjut juga sedang diambil ke atas mereka.
“Kes penipuan ini bukan saja memberi kesan kepada mangsa malah mencemarkan nama baik institusi ibadah haji itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1446 Hijrah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Na’im, beliau menjunjung titah Sultan Sharafuddin dan tindakan tegas dilaksanakan kerajaan melalui kerjasama strategik antara polis, Lembaga Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).- KOSMO! ONLINE