fbpx

8 PATI, 2 ‘transporter’ masuk perangkap imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lapan PATI tiba di jeti Kampung Selampit, Lundu sebelum ditahan oleh pasukan imigresen.

KUCHING – Taktik ejen haram menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) secara terancang menerusi jeti Kampung Selampit, Lundu sebelum mereka dijemput pengangkut atau ‘transporter’ terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak, semalam.

Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata dalam operasi khas itu, seramai lapan PATI warga Indonesia dan dua transporter warga tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun ditahan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pada seawal pukul 7.20 pagi, pasukan operasi telah pergi ke jeti Kampung Selampit dan pada pukul 2.30 petang, satu pergerakan seramai lapan PATI dikesan menyeberangi Sungai Selampit menggunakan sebuat bot.

Katanya, sebaik tiba di jeti tersebut, dua buah kenderaan yang menunggu di situ kemudian menjemput kesemua PATI itu.

“Pasukan operasi mengekori kenderaan tersebut sehingga berhenti di tempat letak kereta Ming Ming Food Junction di Pekan Bau dan menyerbu semua PATI termasuk dua lelaki tempatan (pengangkut),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati PATI tersebut masuk melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Difahamkan, PATI ditawarkan perkhidmatan untuk dihantar ke ladang kelapa sawit di sekitar Tatau dan Sarikei dengan bayaran sebanyak RM2,300 seorang oleh ejen haram ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI