WALAUPUN Chen Tang Jie dijangka kembali bergandingan dengan Toh Ee Wei, namun pemain berusia 27 tahun itu memilih untuk kekal fokus terhadap tiga kejohanan penting terlebih dahulu.
Tang Jie yang kini digandingkan dengan pemain muda, Chan Wen Tse dalam beregu campuran menjelaskan bahawa keutamaannya kini memastikan prestasi kekal konsisten.
“Tiga kejohanan ini sangat penting, bukan saja untuk saya tetapi juga Wen Tse kerana dia tidak pernah main kejohanan besar seperti ini.
“Sekarang saya fokus dulu dengan Wen Tse. Dia masih muda, berbakat dan rajin belajar. Saya anggap ini peluang untuk bantu dia dan dalam masa sama kekalkan momentum sendiri.
“Mengenai perlawanan akan datang, saya tak mahu letak tekanan. Kami cuma nak main sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Tiga kejohanan dimaksudkan ialah Terbuka Taiwan (6-11 Mei), Terbuka Thailand (13-18 Mei) dan Malaysia Masters dari 20 hingga 25 Mei yang bakal menjadi medan ujian terakhir buat Tang Jie sebelum kembali bergandingan dengan Ee Wei.
Beregu ranking No. 4 dunia tersebut akan diturunkan pada Piala Sudirman pada 27 April hingga 1 Mei sebelum mengalih tumpuan pada Terbuka Singapura (27 Mei- 1 Jun).
Untuk rekod, Tang Jie dan Ee Wei sebelum ini merupakan antara beregu campuran utama negara dalam kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, ketiadaan persefahaman antara mereka memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan gandingan itu hujung bulan lalu sehingga menyebabkan nama mereka digugurkan daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.