PASIR PUTEH – Seorang petani maut selepas dihempap sebatang pokok akasia yang tumbang semasa mencari lembu ternakannya dalam kejadian di belakang Balai Polis Marin Tok Bali, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.18 petang itu, mangsa, Ramli Mohd. Rahim, 51, dari Kampung Kuala Semerak di sini meninggal dunia di lokasi kejadian ketika sedang menunggang motosikal.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Che Azrul Azmeri Che Abdullah berkata, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong dan mengalihkan dahan pokok yang menghempap badan mangsa.
“Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE